Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 25, 2014

NYAWA MASIH PANJANG




Batu Talam - Keputusan untuk tidur di ruang tamu menyelamatkan nyawa sepasang suami isteri dari ditimbus tanah dalam kejadian tanah runtuh di Perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Sia, Ulu Sungai, di sini, pagi semalam.

Suami isteri terbabit, Zamzuri Mat Yusof, 43, dan Tifah Tut, 40, bagaimanapun terkilan kerana hampir sebahagian rumahnya ditenggelami tanah.

Menurut Tifah, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi di mana ketika itu dia sedang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan bunyi barang jatuh di dapur.

“Masa itu saya sangkakan bunyi periuk jatuh, tetapi apabila ke dapur saya lihat dinding rumah sudah runtuh dan rumah dipenuhi tanah,” katanya. 

Disebabkan kejadian itu, Zamzuri berkata, keseluruhan dapur dan bilik tidur dia dan isteri ditenggelami tanah dan tiada barang yang sempat diselamatkan.



“Nasib baiklah kami terfikir untuk tidur di ruang tamu. Kalau tidak, apalah nasib saya dan isteri,” katanya.

Katanya, kejadian terbabit juga turut menyebabkan pakaian dan buku sekolah tiga anaknya iaitu Norhidayah Zamzuri, 15, Mohammad Afiq Hafizul Zamzuri, 12, dan Mohammad Firdaus Zamzuri, 9 musnah.

Dalam kejadian yang sama, sebanyak 26 rumah masyarakat Orang Asli Pos Satak, dekat sini turut ditenggelami air sehingga ke paras dada golongan dewasa.

Tok Batin, Basir Anak Arik berkata, dia dikejutkan dengan bunyi riuh rendah jiran tetangga kira-kira jam 5 pagi.

“Isteri kejut saya dan maklumkan kampung dinaiki air. Pada mulanya, saya tidak percaya dan sambung tidur semula tetapi apabila dikejutkan lagi buat kali kedua, barulah saya betul-betul sedar dan bergegas bantu mangsa lain,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbabit sesuatu yang di luar jangkaan kerana selama 49 tahun menetap di kawasan terbabit, ini kejadian banjir yang pertama berlaku di sini.

“Sehingga jam 7 pagi, mereka ditempatkan di bilik gerakan, sekolah dan kawasan tinggi. Selepas air surut, mereka dibenarkan kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Difahamkan, 12 keluarga daripada 26 keluarga yang terlibat terjejas teruk akibat kejadian itu.

Di Kampung Tersang pula, tiga keluarga terdiri daripada 17 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di balai raya, dekat sini.

Seorang ibu tunggal, Habibah Samat, 42, berkata, rumahnya mula dinaiki air pada jam 7.30 pagi.

“Saya bersama tiga anak cuba menyelamatkan diri dan kini ditempatkan di balai raya,” katanya.

Banjir paling teruk

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Kampung Tersang, Abdul Halid Mat Yam berkata, bencana alam itu pertama kali berlaku di kawasan perkampungan terbabit.

Menurutnya, tiga keluarga ditempatkan di balai raya manakala empat keluarga lagi terputus hubungan kerana jalan dinaiki air sementara lima keluarga lagi tidak dipindahkan.

“Jumlah keseluruhan keluarga dan rumah yang terlibat adalah sebanyak 12 buah,” katanya.

Bermula jam 7 pagi hingga kira-kira jam 9 pagi semalam, beberapa kenderaan tidak dapat melalui jalan utama dari bandar Raub menuju ke Felda Tersang berikutan laluan sepanjang hampir 30 meter di simpang Taman Dato Tengku Paris dinaiki air.

Seorang pembantu makmal SMK Felda Tersang, Mohd Murad Ismail, 52, berkata, dia hadir lewat ke tempat kerja gara-gara terpaksa menunggu air surut di laluan terbabit.

Situasi sama turut dihadapi seorang guru SK LKTP Felda Tersang, Aslinda Saeman, 39, yang terpaksa menunggu air surut seawal jam 7 pagi.

“Ada dalam kalangan pengguna sanggup meredah banjir apabila air sudah surut ke paras lutut, namun tindakannya itu menyebabkan kenderaannya rosak dan terkandas tepi jalan.

“Saya tidak sanggup meredah banjir kerana tidak mahu mengalami nasib sepertinya, mahu atau tidak, saya terpaksa menunggu air betul-betul surut dalam tempoh yang lama,” katanya. 

Mangsa bakal terima bantuan

Penghulu Mukim Batu Talam, Shukor Jamaluddin berkata, kebanyakan rumah yang terjejas terletak di kawasan yang belum pernah dilanda banjir sebelum ini.

Menurutnya, mangsa akan menerima bantuan sewajarnya daripada agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan dari Pejabat Adun dan sebagainya. 

“Jumlah keluarga yang terlibat kira-kira 45 rumah dan kesemua mereka akan menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

0 comments:

share2