Kuala Lumpur - Benarkah telefon bimbit milik pembantu juruterbang MH370, Fariq Ahmad Hamid dihidupkan dan dikesan di Pulau Pinang, seperti didakwa sumber dari Amerika Syarikat (AS)?
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, apabila ditanya berkata, polis masih menyiasat perkara itu dan sebarang spekulasi mengenainya boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
“Saya tidak mahu komen selagi tiada pengesahan. (Kita perlu) memastikan keluarga yang di bawah siasatan tidak tersinggung dari segi emosi dan kedudukan mereka," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Katanya, polis dan agensi risikan antarabangsa sedang menyiasat dan maklumat (yang tidak tepat) akan jejaskan siasatan mereka.
Laman web CNN, semalam memetik sumber rasmi dari AS bahawa telefon bimbit milik Fariq telah dihidupkan dan ia dapat dikesan oleh menara telekomunikasi di Pulau Pinang. Bagaimanapun tiada panggilan dibuat.
Maklumat itu mendorong pasukan penyiasat melihat jutaan rekod panggilan telefon jika ada panggilan telefon yang dibuat dari pesawat itu selepas ia dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Panggilan itu dikatakan dilakukan ketika pesawat tersebut berada pada ketinggian 5,000 kaki dan terbang merentasi Pulau Pinang.
Laporan CNN menyebut, sumber pasukan penyiasat AS itu berkata, telefon bimbit milik Fariq cuba mengesan isyarat telekomunikasi kira-kira 30 minit selepas MH370 membuat pusingan balik ke Semenanjung Malaysia.
USA dapat tau sebab NSA larrrrrrrr...