Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 19, 2014

HUDUD: BEZA PENDAPAT TIDAK HALANG KERJASAMA




Kuala Terengganu - Pelaksanaan hukum hudud adalah perjuangan Pas sejak sekian lama dan perbezaan pendapat antara rakan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menghalang kerjasama antara sekutu parti itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, apa yang perlu difahami ialah konsep PR itu sendiri adalah persefahaman antara tiga perkara utama.

Antaranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya, menentang kezaliman dan alternatif dalam menentang Umno dan BN.

“Berbeza dengan pelaksanaan undang-undang hudud ini, ia adalah perjuangan Pas sejak sebelum gabungan PR itu sendiri. Sebagaimana Pas, PKR dan DAP juga mempunyai perjuangan masing-masing.

“Dalam hal ini, kita tetap meneruskan perjuangan kita sejak sekian lama dan perbezaan pendapat mengenai perjuangan antara parti tidak akan menghalang untuk kita bekerjasama,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyatakan kesediaannya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud selewat-lewatnya 2015.

Bagaimanapun media melaporkan, DAP bertegas, 38 ahli parlimen parti itu menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini.

Jelas Khairuddin, rang undang-undang Islam itu sudah lama diterima di Kelantan dan Terengganu selain diluluskan di Dewan Undangan Negeri sebelum wujudnya pakatan pembangkang.

“Pas sudah berjaya sebenarnya, cuma yang tinggal untuk diiktiraf melalui peruntukan Perlembagaan. Perlu satu rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan hukuman sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud.

“Jadi soal penentangan (PR) tidak berbangkit kerana kita memang perjuangkan sejak sekian lama sebelum kewujudan PR itu sendiri,” katanya.

Namun katanya, dalam merealisasikan pelaksanaan hukum hudud , pihaknya mengharapkan rakan PR memahami perjuangan Pas itu.

“Kita tidak boleh paksa mereka untuk bersetuju dengan kita. Tetapi perbezaan pendapat ini tidak akan sama sekali menghalang Pas untuk meneruskan perjuangan ini. Sebagaimana presiden tegaskan, kita konsisten dalam isu ini,” katanya.

0 comments:

share2