skip to main |
skip to sidebar
GOBIND NASIHAT KARPAL PULANG PAGI
Ipoh – “Saya sudah minta ayah buat perjalanan pagi, tapi dia berkeras tetap mahu pulang malam itu juga,” kata anak kedua mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo ketika ditemui media, semalam.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, pesanan itu dibuat ketika menemui ayahnya kira-kira jam 10.15 malam sebelum insiden berlaku.
Menurutnya, mendiang berkeras mahu tiba awal di Pulau Pinang bagi membuat persiapan mengendalikan kes mahkamah yang dijadualkan berlangsung pagi itu.
“Itulah kali terakhir saya jumpa ayah, meskipun masih terkejut dan sedih, kami sekeluarga menerima berita ini,” katanya.
Bekas pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam kemalangan di Km306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurong, di Kampar, Perak, awal pagi semalam.
Turut terbunuh dalam kemalangan di laluan utara itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 40-an.
Sementara itu, Gobind membuat pengecaman mayat bapanya di Hospital Kampar ketika tiba kira-kira jam 5.20 pagi, setelah menerima berita nahas berkenaan kira-kira jam 2.15 pagi.
Katanya, mereka sekeluarga berhasrat memanjangkan tempoh sebelum pengebumian dilangsungkan bagi memberi peluang orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
“Ramai kenalan dan ahli keluarga menghubungi dan memaklumkan untuk hadir, ada antara mereka berada di luar negara.
“Jadi kita sudah buat persetujuan awal untuk langsungkan pengebumian pada jam 11 pagi, Ahad ini,” katanya.
Mayat Karpal Singh dibawa keluar dari bilik bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tepat jam 1.30 petang, semalam sambil diiringi polis.
Mendiang dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Utama, Kebun Bunga, Pulau Pinang supaya orang ramai berpeluang memberi penghormatan terakhir.
Ahli keluarga termasuk isteri mendiang, Gurmit Kaur, anak sulung yang juga Adun Keramat, Jagdeep Singh Deo, anak perempuan, Sangeet Kaur dan anak bongsu, Man Karpal turut berada di pekarangan bilik mayat sehingga proses bedah siasat selesai.
Sumber
0 comments:
Post a Comment