Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 18, 2014

EMPAT BERANAK DISAMUN LELAKI BERSENJATA




Maran - Empat beranak termasuk seorang warga emas berusia 78 tahun disamun tiga lelaki tidak dikenali dengan bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Merbau dekat sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Ketua keluarga terbabit yang juga seorang pengamal perubatan tradisional, Abu Bakar Kadir, 51, turut diikat ketiga-ketiga lelaki bertopengkan kain muka itu.

Abu Bakar berkata, dia yang sedang tidur bersama isteri di bilik dikejutkan secara kasar dengan parang dihunus ke leher sebelum diminta mendiamkan diri.

Menurutnya, selepas diikat, seorang daripada lelaki itu mengarahkan isteri, Rajhah Othman, 49, menunjukkan tempat simpanan wang sambil menggeledah seluruh rumah.

“Masa kejadian, saya dan isteri tidur di bilik sementara ibu di ruang berasingan dan anak bongsu lelaki berusia 10 tahun di ruang tamu.

“Ketiga lelaki yang menggunakan loghat Indonesia ini masuk ke dalam rumah dengan memotong besi tingkap nako di sebuah bilik bahagian belakang rumah.

“Mereka mendesak serahkan wang tunai dan seorang ikut isteri saya menggeledah sambil mengacukan parang,” katanya.

Mangsa kehilangan wang tunai RM2,000 hasil berniaga lauk-pauk di pasar malam dan dua utas rantai emas serta tiga telefon bimbit dengan anggaran kerugian berjumlah RM5,000.

Warga emas terbabit, Piah Zakaria berkata, ketiga lelaki tersebut melalui ruang tempat dia tidur namun berkemungkinan tidak mengendahkan sebelum terus ke bilik anak dan menantunya itu.

Menurutnya, dia hanya sedar sebaik kelambu tidur diselak seorang lelaki dengan mengacu parang dan meminta diam serta menyerahkan rantai emas di leher.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

0 comments:

share2