Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 18, 2014

CEDERA DISAMUN ENAM LELAKI



Taiping - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dia disamun enam penjenayah di hadapan rumahnya sendiri di Kampung Tersusun kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa yang enggan dikenali itu turut cedera ringan selepas bergelut dengan penyamun-penyamun terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa berada di hadapan rumahnya seorang diri.

“Mangsa secara tiba-tiba disamun sekumpulan enam lelaki yang menunggang tiga dan membonceng tiga motosikal," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Yusuf berkata, enam individu berkenaan merampas dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai berjumlah RM200.

"Sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa turut dilarikan kumpulan penjenayah terbabit,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan akibat samun berkawan.

Yusuf berkata, pihak polis sentiasa memandang serius kes-kes membabitkan samun khususnya di sekitar kawasan Taiping.

“Oleh yang demikian, kita juga berharap dan memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya boleh tampil ke hadapan membantu polis menangani kegiatan ini,” katanya.

0 comments:

share2