Gua Musang - Gara-gara bimbang dimarahi keluarga, lima kanak-kanak sanggup menyembunyikan kejadian seorang rakan mereka yang lemas di Sungai Ketil kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Bagaimanapun, pada jam 8 pagi semalam, seorang daripada mereka yang tidak sedap hati untuk terus menyembunyikan perkara itu memberitahu keluarga mangsa di Taman Tropikal, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Lim Wai Hong, 12, murid tahun enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Gua Musang, 12, ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat apabila melancarkan gerakan mencari di sungai berkenaan kira-kira jam 10.35 pagi, semalam.
Sebelum itu, mangsa dan lima rakan mandi di sungai tersebut kira-kira jam 5 petang kelmarin, tetapi selepas mendapati mangsa lemas, semua rakannya bertindak menyembunyikan kejadian itu kerana bimbang dipukul keluarga masing-masing.
Bapa mangsa, Lim Kian Guan, 59, berkata, dia bersama isterinya, Yong Kong Kap, 41, mencari anak kesayangannya itu sejak petang kelmarin.
Menurutnya, kebiasaannya Wai Hong akan berada di rumah sepanjang hari pada hari cuti sekolah dan tidak dibenarkan bermain jauh termasuk di sungai terbabit.
“Saya tidak sangka anak keluar rumah bersama rakan untuk mandi di sungai berkenaan ketika saya bersama isteri bekerja dan terkejut apabila pulang ke rumah jam 5 petang, Wai Hong tiada.
"Lebih terkilan apabila rakan Wai Hong tidak memaklumkan perkara sebenar mengenai kejadian ini dengan masing-masing menyembunyikannya sampai 15 jam sehinggalah mayat anak saya ditemui pagi ini (semalam)," katanya yang masih bersedih.
Kian Guan berkata, sebaik sahaja dia diberitahu oleh rakan anaknya itu mengenai kejadian tersebut, dia segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang, kira-kira jam 8 pagi.
"Jika mereka beritahu lebih awal kehilangan anak saya di sungai tersebut, mungkin dia dapat diselamatkan, mungkin penduduk kampung boleh turut sama mencarinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.21 pagi, semalam.
Katanya, lapan anggota bomba ke lokasi kejadian, dan berjaya menemui mayat mangsa jam 10.35 pagi.
Operasi turut dibantu pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela daerah Gua Musang.
"Keadaan sungai yang dalam dan keruh sukarkan operasi, mangsa ditemui sejam kemudian," katanya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat," katanya.
0 comments:
Post a Comment