Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 22, 2014

ZOMBI MENYERANG!




KAMPUNG Pisang dan Mamat Khalid bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Dek kerana Kampung Pisang jugalah, kita mengenali Usin, Usop Wilcha, Sofi dan ramai lagi.

Setelah muncul dengan 'bala-bala' di Kampung Pisang dimulai dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, kini Mamat kembali dengan Zombi Kilang Biskut.

Masih mengekalkan Kampung Pisang sebagai latar jalan cerita, Mamat juga mengekalkan beberapa pelakon seperti Awie, Usop Wilcha, Soffi Jikan dan kali ini turut menampilkan muka baharu seperti Eina Azman, Adam AF, Dayana Roza, Ilya Buang dan Shuk Balas.

Bukan itu sahaja, Mamat juga tidak lagi mengekalkan imej zombi berwajah putihbak tepung gomak, kerana kali ini dilihat menyediakan zombi yang lebih 'ngeri' dengan suntikan imej janaan komputer (CGI).

Kali ini, ia berkisarkan Din Mamu (Ilya) mengajak Usin (Awie) untuk bekerja di kilang biskut. Usin bersetuju untuk bekerja di kilang biskut dan menjadi juruteknik bersama-sama Wahab B.

Manakala Sofea pula bekerja di Jabatan Sumber Manusia. Dari situ bermula pengisahan zombi ini setelah Usin bertemu dengan Dr Sofi.

Mereka semua selalu digemparkan dengan ramai pekerja yang pengsan di kilang. Lebih pelik apabila Usop bertembung dengan beberapa individu seakan zombi.

Dalam masa sama, kampung mereka didatangi tetamu misteri bernama Kamariah yang ingin mencari Usop. Namun ramai lelaki yang menjadi korban Kamariah termasuk zombi.

Konflik ini mencetuskan huru-hara di Kampung Pisang dan keadaan menjadi kucar-kacir setelah mereka mendapat tahu zombi telah mula menyerang.

Usin, Usop, Sofea, Wahab B dan Pian berusaha hendak menentang zombi ini. Tetapi mereka terlebih dahulu diserang oleh Kamariah.

Apa yang akan terjadi seterusnya. Adakah Usin, Usop, Sofea, Wahab B dan Pian berjaya mengalahkan zombi-zombi yang berkeliaran di kilang biskut? Dan siapa pula Kamariah?


Lakonan mantap

Keistimewaan filem ini adalah pengekalan pelakon-pelakon utama seperti Awie dan Usop Wilcha yang tidak perlu dipertikaikan lagi lakonan mereka

Apatah lagi, dengan kembalinya Sofi dalam Kampung Pisang membuatkan filem ini terasa lebih gamat lagi. Namun sebenarnya, penulis agak kecewa kerana watak Sofi tidak terlalu banyak.

Selain itu, lakonan Eina juga tidak kurang hebatnya, siapa sangka dengan wajah cantik itu, Eina berjaya menakutkan penonton dengan jelingan mata bundarnya.

Manakala kehadiran Adam AF dalam filem ini pula tidak memberi sebarang kesan besar. Barangkali ia antara percaturan Mamat untuk Adam kali ini atau mungkin wataknya akan dikembangkan dalam filem zombi Mamat selepas ini, hanya Mamat yang mengetahui.


Plot mengganggu

Dari sudut komedi dan sindiran sinis bagi sesetengah pihak, idea Mamat sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Biarpun berkiasan dan ada kalanya secara terus, ia sudah cukup membuatkan orang terasa sambil ketawa. Namun dalam masa sama, mesej itu sebenarnya sangat berguna dan boleh diterima oleh penonton.

Bagaimanapun hanya satu sahaja yang mengganggu penulis berkaitan filem ini, plot!

Seperti yang diketahui, Mamat sememangnya bercadang menghasilkan triologi bagi filem zombi ini dan penonton akan dapat mengetahui tajuknya di penghujung jalan cerita.

Namun, mungkin kerana mahu menyimpan beberapa syot menarik bagi filem zombi terakhir membuatkan kisah zombi kali ini tidak dipaparkan secara kemas dalam filem ini berbanding Zombi Kampung Pisang.

Bagaimanapun, babak akhir termasuk jawapan kepada misteri kemunculan Kamariah, pasti anda tidak akan disangka-sangka.

Malah, jika anda tidak pernah menonton karya-karya Mamat Khalid sebelum ini, anda pasti sedikit sukar memahami dan mengenali watak yang ada dalam filem ini.

Namun, bagi mereka yang pernah menonton karya Mamat, jangan lepaskan peluang menyaksikan Zombi Kilang Biskut di pawagam.


Zombi Kilang Biskut

PENGARAH : Mamat Khalid
PELAKON : Awie, Usop Wilcha, Soffi Jikan, Eina Azman, Adam AF, Dayana Roza, Ilya Buang, & Shuk Balas.
GENRE : Komedi
DURASI : 1 jam 50 minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 20 Mac
KESELURUHAN : TAK RUGI TONTON

0 comments:

share2