Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 22, 2014

TEMERLOH: EMPAT DITAHAN EDAR DADAH




Temerloh - Empat individu iaitu pasangan suami isteri dan pasangan kekasih dipercayai pengedar dadah menjadikan kediaman salah seorang daripada mereka sebagai markas untuk membungkus dan menghisap dadah.

Suami isteri yang berumur antara 20 hingga 30 tahun yang menjadi suspek utama itu dikatakan telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini hampir tiga tahun lalu.

Mereka menghantar dua anak mereka ke kampung supaya memudahkan aktiviti pengedaran dadah dilakukan di kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, keempat-empat mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Bahagia di sini kelmarin dalam satu serbuan jabatan narkotik kira-kira jam 3.15 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM10,000 daripada kesemua suspek.

“Pemeriksaan lanjut di dalam satu bilik menemukan kotak besi yang di dalamnya mengandungi enam peket plastik lut sinar dipercayai jenis syabu seberat 10.02 gram dan kotak berwarna biru yang mengandungi satu peket berisi serbuk dan ketulan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 166.05 gram.

“Barangan lain yang turut dirampas termasuklah alat sealer, penimbang digital, kotak Samsung Galaxy berisi plastik kosong, botol kaca yang diubahsuai, kepingan aluminium dan gunting yang disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara dan sebatan di mana kesemua mereka ditahan reman sehingga 27 Mac ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan suspek utama mempunyai dua rekod lampau di bawah kesalahan narkotik.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan terus menggiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.


“Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti menyalahi undang-undang dan kita berharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

0 comments:

share2