Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 7, 2014

SERANGAN GAJAH DI JERANTUT, PERHILITAN BINA PAGAR LETRIK




Jerantut - Penduduk Kampung Som di sini, tidak lagi perlu bimbang terhadap kebun serta tanaman masing-masing berikutan seekor gajah jantan dipercayai daripada sekumpulan gajah liar yang menceroboh kampung tersebut kira-kira seminggu lalu, akhirnya berjaya dipindahkan.

Sekaligus Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) akan membuat tindakan susulan dengan memasang pagar elektrik bagi menghalang gajah memasuki semula perkampungan tersebut termasuk kawasan sekitarnya.

Perkara demikian disahkan Ketua Perhilitan Temerloh/Jerantut Khairul Anwar Mislan selepas aktiviti pemindahan gajah berkenaan, kelmarin.

"Selepas mendapat aduan penduduk kampung pada sebelah pagi 27 Februari lalu, pihak kami terus membuat siasatan dan pantauan. Dalam tempoh singkat kita berjaya menangkap gajah itu pada sebelah petang, hari yang sama.

"Dan sebagai tindakan susulan pihak kami akan memasang pagar elektrik bagi menghalang gajah dari memasuki kampung ini dan sekitarnya," katanya ketika ditemui di lokasi pemindahan gajah itu semalam.

Menurutnya, pagar elektrik itu akan dipasang kira-kira sejauh 15 kilometer antara sempadan Hutan Simpan Som dan juga kampung berhampiran.

Katanya, projek pemasangan pagar elektrik tersebut akan dilaksanakan berkemungkinan dalam tempoh sebulan dua ini dan sementara itu, Jabatan Perhilitan akan membuat pantauan berterusan sekiranya terdapat aduan daripada penduduk kampung. 

Gajah dianggarkan seberat dua tan berusia kira-kira 12 tahun itu dipindahkan selepas ditangkap Khamis lalu oleh Unit Tangkapan Gajah manakala proses pemindahan dilaksanakan anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Menurutnya, seramai 20 renjer berpadu tugas semalam bagi melaksanakan pemindahan tersebut dengan dibantu dua gajah denak bernama Rambai dan Kala.

Istimewanya, ia bagaikan pesta apabila ramai penduduk kampung menyaksikan pemindahan itu.

"Syukur pemindahan lancar kerana faktor saiz gajah agak kecil serta tindak balas gajah itu kurang agresif," katanya,.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau akan cuba memohon pertimbangan kerajaan berhubung kerugian penduduk.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan bertulis rasmi daripada ketua kampung. Ini kerana, setakat ini saya hanya menerima aduan lisan sahaja, namun pada peringkat ini kita sudah berjaya menyelesaikan masalah penduduk walaupun aduan diterima hanya secara lisan," katanya.

0 comments:

share2