Gambar Hiasan
MARAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang diminta menyiasat kehadiran seekor harimau belang yang didakwa kelihatan berkeliaran di ladang getah pinggir Aur Gading Kampung Luit di sini pada Rabu lalu.
Seorang penduduk kampung itu, Mat Yasin Logam, 83, berkata, ladang tersebut seluas 160 hektar itu mula dibuka pada 1974 membabitkan peserta seramai 49 orang.
Tambahnya, kalangan mereka mendakwa sering terdengar bunyi ngauman haiwan itu di kawasan ladang mereka yang bersempadan dengan Hutan Simpan Tembeling.
Dalam kejadian Rabu lalu, saya sendiri terdengar ngauman harimau ketika berehat menoreh getah di atas motosikal.
Saya terkejut kerana bunyi itu sangat jelas yang dipercayai daripada seekor harimau belang dan tanpa berlengah saya balik ke rumah," katanya ketika ditemui di kampung tersebut di sini hari ini.
Katanya, dia meminta anaknya, Ahmad Ramly, 34, melaporkan kejadian itu kepada Perhilitan bagi menyiasat dakwaan itu namun mendapati tiada kesan tapak kaki di kawasan ladang terbabit.
Seorang lagi penduduk, Ghani Midun, 53, berkata, dia berharap Perhilitan lebih serius mengesan haiwan itu sama ada memasang perangkap atau sebagainya.
Tidak perlulah setelah berlaku musibah atau ada yang menjadi mangsa baru agensi berkenaan sibuk membuat siasatan menyeluruh dan mungkin situasi itu sudah terlambat," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, Mohd. Sani Ishak, 60, dakwaan itu perlu dipandang serius oleh pihak terlibat berikutan terdapat aktiviti pembalakan, peladangan dan pembangunan di kawasan sekitarnya.
Penduduk sangat bimbang dan takut untuk menoreh getah sejak seminggu lalu sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment