Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 6, 2014

KEPUTUSAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DITANGGUH


Kira-kira 100 orang umat Islam menunaikan solat hajat di hadapan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di sini. - Foto Bernama


Putrajaya - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguannya, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah ALLAH. 

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. 

Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri. 

Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor. 

Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha. 

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah ALLAH selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah ALLAH adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.

Di bawah peruntukan itu, seseorang pemohon yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan, yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.

Dalam prosiding hari ini, peguam kanan Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili gereja, menggesa mahkamah agar memberi kebenaran kepada gereja untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan memandangkan keputusan itu (Mahkamah Rayuan) mewujudkan kekaburan berhubung skop penghakiman Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu membawa kesan yang sangat luas bukan hanya kepada pemohon tetapi juga kepada hak 1.6 juta penganut Kristian di Sabah dan Sarawak yang membentuk 64 peratus daripada jumlah keseluruhan penganut Kristian di seluruh negara.

Das berkata isu perlembagaan berhubung agama minoriti turut terlibat, oleh itu Mahkamah Persekutuan wajar menyemak semula penghakiman Mahkamah Rayuan berkaitan ketepatan mereka dari semua aspek, demi kepentingan awam dan negara.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Terengganu berhujah bahawa bukanlah bagi mahkamah untuk menentukan isu berkaitan ketenteraman awam, dan menambah Kementerian Dalam Negeri bimbang dengan concerned tentang akibat yang akan timbul jika The Herald dibenarkan menggunakan kalimah itu.

Peguam Mubashir Mansor, mewakili empat lagi majlis agama Islam negeri, berkata kitab asal Bible adalah dalam bahasa Hebrew serta Greek dan teks bahasa Malaysia hanyalah terjemahan, dan menambah kemungkinan berlaku kesilapan dalam penggunaan kalimah Allah. 

"Kita memperkatakan tentang salah terjemahan. Ini bukanlah kes Islam campur tangan dalam Kristian," katanya, dan menambah kalimah ALLAH adalah perkataan Arab yang diimport ke dalam agama Kristian.

Mubashir turut berhujah jika kebenaran itu diberi, Majlis Agama akan memfailkan rayuan balas atas isu 'tidak berjustifikasi".

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Katri Abdulla mewakili Macma, berkata persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh gereja tidak akan membantu dalam meminda keputusan Mahkamah Rayuan. 

0 comments:

share2