Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 1, 2014

CUKAI TINGGI ATASI PEMBALAKAN HARAM



RAUB - Kerajaan negeri disarankan menubuhkan unit penapisan kayu balak mereka sendiri bagi menghalang pembalakan haram yang semakin berleluasa di negeri ini.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, inisiatif ini bertujuan menyekat kegiatan pembalakan haram dengan peningkatan hasil cukai.

Menurutnya, pokok yang ditebang dikumpulkan dalam kawasan dipersetujui di setiap daerah dan lokasi terpilih.

“Pengilang kemudian akan datang ke tempat himpunan kayu ini dan membeli kayu yang mereka kehendaki.

“Cukai yang dikenakan ke atas mereka membantu kerajaan negeri meningkatkan hasil sekali gus menyekat pembalakan haram,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkaitan dilihat membawa keluar balak setiap hari dari hutan ini sehingga mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat dan kawasan sekitar.

“Ia memberikan impak negatif kepada alam sekitar seperti kemusnahan tadahan air dan sungai sehingga mengakibatkan banjir.

“Ada juga dalam kalangan masyarakat khususnya Orang Asli yang kehilangan sumber pendapatan selain kemusnahan habitat haiwan liar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan membuat sekatan kemasukan penceroboh dan pencuri kayu balak terbabit.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil langkah drastik membuat sekatan serta merta bagi menghalang penceroboh

“Pencerobohan ini berlaku saban tahun sehingga menyebabkan negeri ini kerugian hasil negeri dan khazanah alam bernilai jutaan ringgit,” katanya.

0 comments:

share2