Bukit Beruntung - Lokasi tersorok dan jauh daripada pandangan awam menjadikan sebuah banglo dua tingkat berdekatan sebuah kelab golf di sini sasaran golongan remaja melakukan maksiat.
Kegiatan remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun seringkali dihidu penduduk di kawasan sekitarnya.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai nenek, 69, berkata, kumpulan remaja terbabit sering memasuki kawasan hujung minggu di antara jam 5 hingga 7 petang.
“Selalunya nenek tengok budak naik motor beramai-ramai ke belakang nak hidu gam.
“Nenek dengar budak itu buat perkara tak senonoh lelaki dan perempuan. Lebih sedih perempuan dijadikan habuan bila ada perlumbaan motosikal,” katanya.
Manakala seorang lagi penduduk yang bekerja di kelab golf berkenaan dikenali sebagai Selvadewi, 40, berkata, dia dan suaminya pernah terserempak sekumpulan remaja bermotosikal kemalangan berdekatan banglo tersebut.
“Pakcik (suami) bersama pemain golf pernah tolong seorang budak perempuan yang cedera sebab jatuh bersama motosikal dalam longkang.
“Pakcik tanya budak tu, kamu perempuan buat apa dalam hutan ni dengan ramai budak lelaki, tapi lepas diselamatkan budak tu terus lari,” katanya.
Menurutnya, ini bukan pertama kali dia terserempak remaja bermotor masuk ke kawasan banglo itu kerana hampir setiap hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada kumpulan bermotor masuk ke kawasan tersebut.
0 comments:
Post a Comment