SHAH ALAM - Kebimbangan masyarakat Islam terhadap penyalahgunaan kalimah Allah di samping terdapat agenda tersembunyi di sebaliknya ternyata benar apabila satu gerakan penyebaran agama bukan Islam secara terbuka dikesan di bandar raya ini.
Modus operandinya bukan lagi tersembunyi malah dilakukan secara terbuka oleh sekumpulan lelaki dan wanita di sekitar bandar raya dengan menjadikan kawasan tumpuan remaja dan pelajar sebagai sasaran mereka.
Kumpulan terbabit yang dipercayai diketuai oleh seorang lelaki yang mendakwa warga Amerika Syarikat (AS) serta fasih berbahasa Melayu dan beberapa orang lelaki serta wanita tempatan dipercayai dari Sabah bergerak mendekati golongan muda di kawasan ini minggu lalu.
Difahamkan kegiatan itu sudah bergerak aktif sejak awal tahun ini dan mereka bergerak secara berkumpulan untuk melaksanakan tujuan berkenaan.
Kebenaran mengenai kegiatan itu terbongkar apabila wartawan Utusan Malaysia sendiri didekati oleh kumpulan berkenaan minggu lalu dengan membawakan penerangan mengenai beberapa konsep dalam ajaran agama tersebut seperti pengampunan dosa, syurga dan neraka.
Kaedah yang diguna pakai oleh kumpulan ini agak licik kerana mereka terlebih dahulu cuba bermesra dengan kelompok sasaran sebelum membawa kepada perbualan yang lebih lanjut.
Selain itu, kumpulan berkenaan turut memberikan beberapa buah buku tafsiran yang menerangkan mengenai kejadian Nabi Isa menurut kepercayaan agama tersebut. Buku-buku yang diberi itu juga mengandungi kalimah Allah yang tertera dalam isi kandungannya.
Tanpa sebarang rasa bersalah, kumpulan itu menjadikan Melayu dan Islam sebagai sasaran.
Sedangkan tindakan itu menyalahi dari segi perundangan kerana sebarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali di negara ini berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988
Berdasarkan perbualan dengan salah seorang ahli kumpulan itu, mereka dikatakan berada di sekitar kawasan i-City di sini untuk melakukan kegiatan itu.
Bagi menarik perhatian golongan muda, kumpulan tersebut juga mengedarkan sebuah komik berunsur agama tersebut secara percuma kepada sasaran yang ditemui.
Komik yang memaparkan mengenai kisah hidup Nabi Isa yang secara tidak langsung bercanggah dengan al-Quran turut mengandungi ilustrasi kisah kehidupan dan kewujudan Nabi Isa yang dilakarkan dalam bentuk kartun.
Muka hadapan komik itu tidak mencatatkan sumber penerbitannya namun ditulis perkataan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Penceritaan dalam komik dengan ilustrasi mengenai agama bukan Islam itu dikhuatiri dapat menjejaskan kepercayaan serta akidah umat Islam.
Selain itu, kumpulan tersebut juga menyebarkan beberapa buah buku tafsir sebuah kitab yang tertera kalimah Allah di dalamnya.
Isi kandungan dalam buku itu mengandungi kalimah Allah yang tertera dalam setiap penerangan yang diberikan.
Jangan leka n harus cepat ditangani gejala ini bimbang anak2 muda kita yg menyambung pelajaran di kota besar terpengaruh dakyah ini, maklum merasa sudah sgt urban...semuanya mahu pantas n mudah.