Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 9, 2013

TIGA SUSPEK KES BUNUH DICARI


BENTONG – Gara-gara masalah kerja sekumpulan empat pekerja warganegara Myanmar dan dua pekerja warganegara Bangladesh bergaduh dalam kejadian di tapak projek pembinaan bangunan baru Hospital Bentong kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, akibat pergaduhan yang berlaku, seorang dari mereka maut manakala seorang lagi cedera parah.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Aktarul, 26, warganegara Bangladesh dan rakannya,  Alomgir, 20-an pula cedera parah di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Semasa pergaduhan berlaku, Aktarul dan Alomgir cedera akibat  ditikam menggunakan senjata tajam.

“Mereka kemudian dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan, namun Aktarul disahkan mati kira-kira jam 2.45 petang akibat pendarahan dalaman dan kesan tikaman di dada,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang suspek berusia 25 tahun di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri.


Katanya, sehubungan itu, pihaknya kini sedang giat mengesan tiga lagi suspek masing-masing berumur 22, 24 dan 29 tahun.

“Senjata yang digunakan dalam kejadian itu masih belum ditemui setakat ini dan pasukan forensik dipanggil untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Sesiapa yang mengetahui maklumat berhubung tiga suspek yang melarikan diri diminta menghubungi talian 09-2231999,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

0 comments:

share2