Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 11, 2013

KELINDAN LORI DITAHAN MEMBERI RASUAH


RAUB – Gara-gara ingin melepaskan diri dari ditahan polis, seorang kelindan lori warganegara Bangladesh tetap berdegil cuba memberi wang suapan sebanyak RM150 walaupun diberi amaran sebanyak empat kali.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman, akibat tidak mengendahkan amaran diberi, suspek yang berusia 20-an itu kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Tranum.

Katanya, kejadian berlaku pada 7 Oktober lalu semasa anggota Balai Polis Tranum, Kopral Maznan Omar dan Lans Koperal Azizul Che Othman sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

“Mereka ternampak sebuah lori dipandu dari arah Kampung Tras menghala ke Simpang Tiga Tranum yang secara tiba-tiba membelok ke Taman Muhibah, Tranum.

“Pemandu lelaki berusia 40-an berasal dari Raub berjaya ditahan manakala kelindannya iaitu suspek melarikan diri, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian di sebuah kedai makan kawasan taman itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd Samsudin berkata, semasa cuba ditahan, suspek bertindak memberi suapan namun ia tidak sesekali mengaburi mata anggota polis yang bertugas.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori terbabit mendapati ia tidak mempunyai cukai jalan dan saman dikenakan ke atas pemandu berkenaan.

“Manakala suspek ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 17 b Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas kesalahan memberi rasuah.

“Suspek kini direman sehingga 11 Oktober untuk membantu siasatan dan turut diserahkan kepada SPRM berhubung kes rasuah,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 1963.

Menurunya, bagi kes rasuah pula suspek boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

“Sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, jangan sesekali cuba melakukan sesuatu perkara tidak beretika seperti memberi suapan kepada polis semata-mata untuk melepaskan diri. Dalam soal ini, pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memberi suapan,” katanya.

0 comments:

share2