Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 16, 2013

KALIMAH ALLAH - KEMENANGAN TERHADAP KEBENARAN


ALHAMDULILLAH, Mahkamah Rayuan menerima rayuan pihak kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan pertubuhan Islam dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam The Herald - The Catholic Weekly kerana ia bukan sebahagian dasar agama Kristian.

Tahniah kepada peguam-peguam Muslim kerana kegigihan memperjuangkan isu penting ini dengan dukungan pihak-pihak yang insaf akan kesan penggunaan kalimah Allah ini.

Sayangnya Pas, ABIM-WADAH, JIM-IKRAM dan Persatuan Ulama Malaysia tidak bersama dalam perjuangan ini kerana terlalu partisan dengan perjuangan politik tertentu.

Hakim Mohamed Apandi Ali menyatakan penyelidikan yang dilakukan terhadap penggunaan bahasa dalam kitab penganut Kristian menunjukkan kalimah Allah (yang merujuk kepada Tuhan) tidak pernah muncul walau sekalipun dalam naskhah berbahasa Ibrani.

Penyelidikannya mendapati kalimah itu tidak pernah digunakan walau sekali dalam kitab Taurat dan Zabur atau Injil, malah tiada terkandung dalam Bible berbahasa Greek. Dalam Bible, Tuhan dikenali sebagai Yahweh atau Yah.

Allah bukannya suatu kalimah atau istilah yang boleh digunakan sesuka hati dalam mana-mana sistem kepercayaan. Ia memberi konotasi makna dan hakikat.

Makna dan hakikat Tuhan dalam Kristian membawa konotasi Trinity - Bapa Tuhan, Anak Tuhan dan Ruhhul Kuddus sedangkan makna dan hakikat Tuhan dalam Islam ialah Allah Yang Esa (tauhidik).

Menggunakan kalimah Allah dalam konteks Islam tidak sama dengan Allah dalam Trinity dan dari sudut makna dan hakikat ia bercanggah.

Kelaziman menggunakan kalimah Allah dalam zaman jahiliah sehingga kini bukan bermakna Allah itu diterima keesaannya. Orang jahiliah masih lagi menyembah patung dan pengucap kalimah Allah bagi penganut agama lain tidak bermakna mereka sudah menerima konsep dan hakikat Allah itu Satu.

Ada tokoh politik berpendapat ia boleh digunakan asal saja tidak disalahgunakan. Apa jaminan tokoh ini tidak boleh berlaku salah guna kerana gerakan evangelis boleh melakukan apa saja. Kalau di Jakarta, Indonesia sudah ada gereja yang menggunakan nama Gereja Jamaat Allah, apa jaminan di tempat lain ia tidak digunakan.

Kalau ada orang berpendapat bahawa penggunaan kalimah Allah ini adalah suatu strategi dakwah, penggunanya tidaklah senaif ini. Kesan langsungnya nanti ialah generasi muda Islam yang lemah ilmu dan imannya memahamkan kalimah Allah dalam Islam dan Allah dalam Trinity adalah sama . Oleh itu semua agama adalah sama. Inilah yang dikatakan pluralisme agama yang diperjuangkan oleh sesetengah tokoh di Malaysia.

Justeru, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu adalah tepat dan benar. Dikatakan tepat kerana ia menjaga maslahah hubungan antara agama dan benar kerana hasil kajian mahkamah mendapati kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam kitab-kitab Kristian pada masa yang lalu.

Umat Islam yang celik, memahami benar strategi gerakan evangelis Kristian terhadap umat Islam. Sejak berabad-abad dulu kalimah itu tidak pernah digunakan, mengapa kini tiba-tiba timbul ghairah untuk menggunakannya. Pepatah Melayu menyebutkan, "Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah".

Tulisan ini bukan dengan maksud melaga-lagakan antara agama. Beragama mendidik manusia menjadi benar dan adil. Benar dan adil didukung oleh rasa keikhlasan yang tinggi. Al-Quran memberi pedoman yang sangat jelas, seperti firman Allah yanbg bermaksud: "Kamu agama kamu dan kami agama kami".

Almarhum Prof. Ismail Faruqi menulis dengan menarik sekali mengenai Christian Ethics manakala Dr. Zakir Nait menulis dengan baik mengenai Hindu Ethics. Kongfuzi dalam bukunya The Analects menganjurkan nilai-nilai interaktif yang memperkukuh kualiti manusiawi.

Pemahaman terhadapnya boleh terjadi sekiranya dialog agama dan tamadun terjadi. Dialog ini bukan untuk melakukan indoktrinasi tetapi memperkongsi nilai-nilai sejagat yang tidak bercanggah.

Al-Quran dengan jelas menyatakan - tidak ada paksaan dalam beragama. Tetapi orang beragama hari ini menghadapi cabaran besar orang yang tidak beragama supaya hak asasi manusia tanpa ikatan agama, etika dan nilai dipaksakan kepada mereka. Ini yang patut dihadapi secara bersama.

0 comments:

share2