Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 10, 2013

PERLU MUKA BARU DALAM MT


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyeru muka-muka lama di dalam UMNO supaya berundur daripada bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT), sebaliknya membantu mengetengahkan muka-muka baharu.

Menurutnya, muka-muka baharu yang wajar diberi sokongan untuk bertanding adalah mereka yang telah memenangi hati rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Jawatan dalam UMNO ini bukan sekadar merebut jawatan tetapi yang penting untuk buat kerja. Ada yang memang popular dalam UMNO tetapi kalah di hati rakyat, ini semua perlu diambil kira.

“Saya sebagai orang lama, saya tidak akan bertanding kerana mahu melihat ramai muka baharu dalam UMNO yang sememangnya boleh memenangi hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Malaysia Tourism Hunt 2013 di sini hari ini.

Mohamed Nazri sebelum ini menerima desakan untuk bertanding jawatan MT supaya beliau tidak akan membebankan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantiknya ke jawatan tersebut.

Beliau berkata, bukan haknya untuk melarang Presiden melantik beliau ke jawatan tersebut, malah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu telah 10 tahun enggan bertanding bagi jawatan MT ekoran mahu memberi peluang kepada muka baharu.

“Saya tidak pernah mengatakan nak menunggu orang melantik saya kerana pelantikan ini berdasarkan pada Presiden, dulu Tun (Dr.) Mahathir Mohamad lantik saya, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun lantik saya.

“Saya tidak berminat untuk naik lebih tinggi daripada apa yang ada hari ini. Saya gembira dengan apa yang ada.

“Apa yang saya inginkan adalah memberi tumpuan kepada jawatan di Parlimen Padang Rengas," jelasnya.

0 comments:

share2