Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 11, 2013

PERTUBUHAN DONG ZONG MEMBAHAYAKAN NEGARA


PENENTANGAN terhadap agenda membina negara semakin menjadi-jadi, seolah wujud agenda membina negara dalam negara. Inilah akibatnya apabila kita terlalu berlembut dengan ultra kiasu.

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan terhadap trend mutakhir pertubuhan Cina seperti Dong Zong dan sewaktu dengannya, yang semakin berani menyentuh isu-isu hubungan antara kaum sehingga menimbulkan polarisasi.Masyarakat Cina dilihat terlalu sensitif sehingga menjadikan usaha baik yang dirancang kerajaan seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP) dimanifestasi sebagai syak wasangka yang menyentuh isu perkauman.

Perhimpunan Dong Zong sebelum ini yang didakwa dihadiri oleh lebih 1,000 pertubuhan Cina membuat resolusi menghalang rancangan dalam PIPP 2013-2025. PIPP dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan bahasa ibunda mereka dan berbaur perkauman. Sedangkan hampir dua tahun kerajaan telah mengumpul input supaya selari dengan Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara. Malangnya, NGO Cina ini langsung tidak mahu terlibat dalam perbincangan pelan tersebut.

Menurut Muhyiddin, trend yang berlaku itu tidak langsung membantu memupuk semangat perpaduan, justeru umat Islam mesti sedar dan tiada pilihan, selain memperkukuhkan jemaah.

Perkara itu tidak akan terjadi jika umat Islam kuat dan bersatu. Kelemahan dan perpecahan yang berlaku, diambil kesempatan sepenuhnya untuk menentang apa jua agenda membina negara, termasuk dengan lantang mencabar agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu.

Peliknya, umat Islam dengan sengaja buat-buat tidak faham akan bahaya ini. Kita masih menganggap perkara ini remeh atau ini masalah UMNO, bukan masalah negara.

Bagi mengaburi mata rakyat dan umat Islam, sekutu Dong Zong, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) akan menganjurkan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang bagi menghargai sumbangan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap usaha-usaha perpaduan dan integrasi nasional.

Menurut Hua Zong, penganjuran itu bertujuan menggalakkan lebih ramai individu atau NGO menyumbang ke arah perpaduan selain memupuk semangat integrasi dalam kalangan rakyat.

Sasterawan Negara, Usman Awang diangkat bagi mengisi nama anugerah itu kerana beliau antara tokoh yang mempunyai semangat dan pandangan positif yang jelas mengenai integrasi. Pemenang tunggal Anugerah Perpaduan cemerlang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sijil, sementara lima pemenang yang terpilih Anugerah Perpaduan Gemilang masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil.

Wah! Lumayan sungguh. Peliknya, kenapa nama Usman Awang, bukan tokoh yang lain? Kenalkah beliau dengan aspirasi dan jati diri Melayu Usman Awang? Setelah membelek-belek latar belakang Usman Awang, rupa-rupanya Usman Awang terlibat dalam Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Usman Awang juga pernah menjadi Ahli Jemaah Kolej Selatan, sebuah kolej swasta aliran Cina. Kerana penglibatan Usman Awang dengan beberapa pertubuhan Cinalah maka Usman Awang dipilih. Ditakdirkan Usman Awang tidak terlibat apa-apa, jangan haraplah nama Allahyarham dipilih.

Sudah tentu Yap Ah Loy dan Sun Yatt Sen yang akan diidolakan seperti mana yang dilakukan ultra kiasu Pulau Pinang.

Saya bimbang nanti apabila terbaca puisi Usman Awang bertajuk Melayu, mereka akan menarik balik anugerah ini pada tahun seterusnya. Saya pohon ketika anugerah ini disampaikan nanti, bacalah puisi Usman Awang ini.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar,

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat

Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu,

Bugis itu Melayu,

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu,

Mamak dan Malbari serap ke Melayu,

Malah muallaf bertakrif Melayu

(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturahim hati yang murni

Maaf diungkap sentiasa bersahut

Tangan dihulur sentiasa disambut

Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara merdeka.

Selain puisi ini, baca juga biodata Usman Awang dan perjuangan Melayunya. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-65). Beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa. Bacalah juga Kumpulan Puisi Keranda 152. 152 merujuk kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

Usman Awang juga adalah orang kuat Utusan Melayu. Usman Awang pernah mogok dan sanggup menganggur mempertahankan bahasa Melayu. Usman Awang juga adalah orang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usman Awang telah mengangkat dan mengharumkan nama institusi bahasa dan sastera tersebut hingga ke tahap antarabangsa selama jangka masa beliau berkhidmat di DBP.

Ketokohan dan kehebatan Usman Awang mesti diserlah secara pakej, bukan hanya merujuk sumbangan beliau kepada China dan Cina. Orang Cina mesti difahamkan, siapakah yang dimaksudkan dengan Melayu oleh Usman Awang? Bagaimana mengenali Melayu? Dan di manakah kekuatan dan sensitiviti Melayu seperti nukilan puisi tersebut.

Perpaduan dan integrasi tidak dapat dicapai kerana kita meletakkan agenda bangsa di hadapan dengan mengetepikan sama sekali agenda membina negara. Misalnya, terbaharu, sekutu Dong Zong juga MCA, berbeza pendapat dengan MIC dalam soal menyeragamkan subjek Bahasa Melayu (BM) di semua sekolah, termasuk SJK Cina dan Tamil. MIC bersetuju diseragamkan. MCA menentang sekeras-kerasnya. Pandangan MCA sama Dong Zong, semua Zong yang lain, termasuk DAP dan Gerakan.

Alasan MIC jelas. Rakyat Malaysia mesti menjunjung bahasa Melayu dan mendapat kredit dalam peperiksaan. Jika tidak, sampai bila-bila pun pelajar bukan Melayu tidak akan dapat menguasai agenda kebangsaan ini. Sudah tentu tidak baik untuk pembinaan negara bangsa.

NGO Cina menolak pandangan MIC. Jika BM diseragamkan, subjek ini akan menyukarkan pelajar Cina untuk menguasai bahasa Cina, kerana terpaksa memberikan tumpuan lebih kepada BM. Puak ultra kiasu langsung tidak mahu bersusah sedikit menyahut agenda negara. Mereka mahu menjadi secina-cinanya, membina negara dalam negara.

Saya telah letih memperkatakan isu yang tidak pernah habis-habis ini. Nasihat saya, jangan dengar lagi apa jua kata-kata Dong Zong atau Jiao Zong atau mana-mana NGO Cina lagi, laksanakanlah apa yang telah diputuskan. Jika tidak Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2013-2025 tidak akan ke mana-mana. Kita akan terus berhadapan dengan masalah demi masalah.

Jika masih berdegil, buat pungutan suara (referendum) kepada rakyat negara ini, seperti mana kita membuat referendum kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Tidak ada gunanya kita terus berlembut dengan ultra kiasu ini. Mereka hanya pentingkan bangsa, bukan negara, kerana mereka ingin membina bangsa dalam negara.

1 comments:

  • Anonymous says:
    August 11, 2013 at 8:43 PM

    HAPUSKAN setiap NGO Hua Zong... siapa mereka... AJK mereka... ahli mereka... alamat mereka...

share2