Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 22, 2013

OIC SUKAR CAMPUR TANGAN MESIR


KEPUTUSAN kerajaan untuk memulakan operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir adalah manifestasi bagaimana pergolakan yang bermula 3 Julai lepas sudah mencapai kepada tahap yang begitu berbahaya dan tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan setelah mendapat laporan daripada pasukan pemantau Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini berada di bumi bergolak tersebut.

“Saya sudah dapat laporan bahawa keadaan di sana menjurus kepada keadaan yang tidak menentu dan mungkin lebih buruk daripada keadaan pada masa ini.

``Oleh itu, pasukan MKN beri pandangan dan nasihat supaya kita mulakan operasi membawa balik pelajar-pelajar yang ingin kembali secara sukarela dan saya bersetuju dengan pandangan tersebut," tegas Najib.

Mungkin ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah sesuatu boleh dilakukan untuk sekurang-kurangnya meredakan keadaan supaya ia tidak menjerumus kepada perang saudara seperti yang sedang menimpa Syria.

Keadaan agak meruncing pada ketika ini kerana kedua-dua pihak yang bertembung iaitu tentera Mesir dan Ikhwanul Muslimin mempunyai pegangan pendirian yang begitu berbeza dan ekstrem.

Ikhwanul Muslimin tetap dengan prinsip supaya Mohamed Morsi yang digulingkan dikembalikan kepada jawatan Presiden. Sementara itu, tentera Mesir pula sudah begitu nyata dengan niat untuk menghapuskan Ikhwanul Muslimin sama sekali dengan melabelkan pertubuhan tersebut dan pengikutnya sebagai terlibat dalam aktiviti keganasan.

Mengharapkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan sesuatu dianggap sebagai satu impian yang sukar dilaksanakan kerana kuasa besar seperti Washington, London dan Paris secara tersiratnya mahu melihat Ikhwanul Muslimin hilang pengaruh bukan sahaja di Mesir tetapi di kebanyakan negara Arab lain. Sementara itu, Moscow dan Beijing pula langsung tidak menzahirkan dasar luar mereka terhadap kemelut yang sedang melanda Mesir.

Ada yang menaruh harapan setidak-tidaknya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memanggil mesyuarat khas untuk membincangkan krisis Mesir. Tetapi OIC yang terdiri daripada 56 negara Islam dinilai begitu sukar untuk mencari jalan penyelesaian kerana beberapa negara berpengaruh dalam pertubuhan itu mempunyai pendirian yang agak berbeza di antara satu sama lain.

Negara terbabit telah mengamalkan dasar luar terhadap pergolakan Mesir secara ekstrem iaitu sama ada menyokong tentera Mesir atau Ikhwanul Muslimin.

Seperti mana Jeneral tentera Mesir dan pemimpin Ikhwanul Muslimin sukar untuk bersemuka di meja rundingan kerana mempunyai pendirian yang berbeza, serupa juga dengan beberapa negara ahli OIC sudah berada dalam situasi yang serupa.

Dalam hal ini Najib memberi reaksi bahawa belum ada persetujuan dicapai bagi mengadakan persidangan khas kerana keputusan itu dibuat oleh OIC selepas kerajaan sementara Mesir menyatakan pergolakan di negara itu sebagai isu dalaman mereka. Begitu nyata sekali OIC begitu terikat dan menghadapi kekangan akibat pertembungan dasar luar beberapa negara ahli.

Kemelut yang sedang melanda Mesir pada ketika ini dan juga Syria yang telah berlanjutan buat sekian lama adalah manifestasi kepada kesan perluasan pengaruh yang sedang menular dalam kalangan negara ahli OIC terutama sekali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dana kewangan tanpa batasan yang diperolehi dari sumber minyak dan gas.

Seperti mana Tunisia dan Libya yang telah menjadi mangsa perluasan pengaruh, Mesir juga tidak terkecuali menerima kesan fenomena ini. Keadaan yang semakin buruk di Syria dan penyingkiran Morsi tidak keterlaluan jika diandaikan kerana dorongan yang disabitkan oleh beberapa negara ahli OIC.

Perebutan pengaruh dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Kuwait, Qatar dan tidak ketinggalan juga Turki dan Iran sebenarnya telah merosakkan kestabilan rantau Arab.

Ketika satu tahun era pentadbiran Morsi, hanya Qatar dan Turki yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada Mesir kerana Arab Saudi, UAE, Jordan dan Kuwait mentafsirkan kebangkitan Ikhwanul Muslim adalah ancaman kepada kerajaan mereka. Tetapi sebaik sahaja Morsi disingkirkan, negara Arab yang selama ini tidak membantu Mesir telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$12 bilion disalurkan dengan segera kepada Kaherah sebagai membantu kerajaan sementara Mesir.

Malah Riyadh secara terbuka telah mengisytiharkan jika Washington atau negara Eropah lain menghentikan bantuan kewangan kepada kerajaan sementara Mesir, Arab Saudi akan menampung segala kekurangan tersebut. Malah jika hendak dibandingkan dengan AS$1.3 bilion yang disalurkan oleh Washington setiap tahun kepada tentera Mesir, apa yang dijanjikan oleh Riyadh kepada Kaherah adalah jauh lebih lumayan.

Pertembungan dasar luar oleh negara ahli OIC ini menyukarkan lagi Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu untuk mengadakan perbincangan khas mengenai Mesir walaupun banyak negara seperti Iran, Qatar dan Turki telah mengusulkan cadangan tersebut.

Pertembungan dasar luar anggota ahli OIC bukan sahaja memburukkan lagi keadaan di Mesir dan Syria tetapi yang lebih penting adalah perubahan pengimbangan kuasa di rantau Arab akan berlaku dan jika tidak ditangani dengan betul akan membabitkan kestabilan rantau tersebut secara keseluruhannya.

Menjadi harapan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh beberapa negara OIC digunakan secara bersama untuk kebaikan dan kestabilan rantau Arab. Mesir dan Syria yang sedang bergolak adalah manifestasi jelas bagaimana bahayanya jika pertembungan ini melarat ke negara lain. Konflik Palestin-Israel juga tidak mungkin akan berjaya mencari penyelesaian jika status-quo Mesir berkekalan. Ini adalah kerana dalam keadaan sebegini hanya satu pihak yang akan menerima manfaatnya, iaitu Israel.

0 comments:

share2