FENOMENA Pusat Transformasi Bandar (Urban Transformation Centre @ UTC) sebagai pusat sehenti bagi mendapat pelbagai perkhidmatan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat bekalan air, Indah Water Konsortium (IWK) dan lain-lain lagi menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional benar-benar komited memberi khidmat kepada rakyat negara ini. Namun sempena bulan Ramadan ini, umat Islam sepatutnya menjadikan masjid dan surau kita sebagai Ummah Transformation Centre (Pusat Transformasi Ummah) untuk mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.
Hari ini masjid dilihat sebagai tempat untuk pelbagai kelompok tertentu menjadikan ia medan sama ada untuk aktiviti umat Islam beribadah, bermuamalat dan paling tidak 'senonoh' untuk berpolitik. Di Selangor larangan untuk diadakan ceramah berunsurkan politik telah lama digantung di dinding masjid tetapi ada juga pihak yang 'mencuri-curi' mengadakan ceramah sedemikian.
Justeru tindakan Kerajaan Negeri Pahang melarang tazkirah antara solat tarawih merupakan langkah yang tepat bagi mengelakkan kelompok penceramah yang menggunakan ia sebagai medan ceramah politik.
Di Selangor hari ini ceramah berunsurkan politik semakin kurang mungkin disebabkan pilihan raya sudah berlalu. Jika tidak seawal-awal selepas subuh puak-puak ini sudah mula memberi kuliah berunsur politik dengan menghukum pihak-pihak yang tidak menyokong perjuangan parti politik tertentu.
Seharusnya pihak jawatankuasa masjid menghindarkan masjid dan surau terus dijadikan tempat aktiviti berpolitik yang menyebabkan ummah berpecah-belah. Langkah yang terbaik adalah menjadikan masjid pusat untuk menyatukan ummah bukan sebaliknya.
Sempena Ramadan, kita lihat masjid menjadi tumpuan ramai, maka inilah masa pihak masjid mengadakan program yang menjurus kepada penyatuan ummah yang lebih kukuh.
Selain ibadat wajib seperti solat lima waktu dan solat sunat tarawih, pihak masjid perlu menjadikan masjid sebagai satu pusat di mana umat Islam boleh hadir tidak terhad kepada aktiviti beribadah malahan muamalah.
Sebagai contoh masjid sebagai UTC, boleh dijadikan pusat untuk amil mengutip zakat sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta dan lain-lain.
Hari ini amil berada merata-rata hingga ke kompleks beli-belah seolah-olah umat Islam hanya wajib berzakat dan bukannya menunaikan solat lima waktu. Terbaru, di sebuah negeri ada kaunter pandu lalu telah diwujudkan untuk memudahkan umat Islam membayar zakat.
Apa salahnya cara lama membayar zakat di depan amil di dalam masjid diadakan. Lebih nampak bersopan apabila upacara berdoa dan bersalam tanda termeterai pembayaran zakat dibuat antara amil dengan pembayar zakat duduk di kerusi atau di ambal masjid.
Pusat-pusat zakat negeri juga boleh mendirikan pejabat yang khas di setiap masjid dan sewaan daripada pejabat zakat tersebut boleh dimasukkan sebagai pendapatan sesebuah masjid.
Selain diwujudkan pusat zakat di setiap masjid, institusi Islam seperti Lembaga Tabung Haji, penulis wasiat dan hibbah, peguam syarie, penganjur kursus kahwin, peniaga barangan bakal haji, peniaga busana muslim dan peniaga makanan sunnah Rasullullah boleh duduk di bawah satu bumbung masjid sebagai UTC Islam di negara ini.
Sempena ramadan ini juga masjid yang selama ini hanya menjadi pusat ibadah yang sunyi di antara lima waktu solat wajib perlu diimarahkan dengan kegiatan muamalah Islam yang menguntungkan umat Islam dan masjid yang mendapat pendapatan sewaan secara tetap.
Lebih cantik jika pusat zakat terus menjadi sebahagian dari kerangka masjid itu sendiri kerana setiap orang yang datang pasti akan terlintas di benak mereka untuk berzakat jika kemudahan tersebut sedia ada di masjid.
Sesungguhnya Ramadan yang datang perlu diambil kesempatan untuk menjadikan masjid lebih meriah lebih daripada sekadar tempat beribadah. Apabila masjid menjadi tempat aktiviti Islam maka ummah akan lebih maju dari segi ekonomi dan memakmurkan institusi Islam itu sendiri. Bayangkan masjid sebagai UTC Islam akan menjadikan ia sebagai institusi yang boleh menjana ekonominya sendiri walaupun ia berada di tengah desa mahupun bandar.
Umat Islam boleh menyelesaikan masalah kehidupan dunia dan akhirat di bawah satu bumbung. Di dalam masjid kita boleh beribadah wajib dan sunat, manakala di luar masjid umat Islam boleh melakukan aktiviti muamalah yang menjana ekonomi ummah itu sendiri. Namun sebagai permulaan masjid itu sendiri perlu dibina dengan prasarana untuk pejabat-pejabat berasaskan Islam. Mungkin dana tersebut boleh dipinjam daripada Bank Islam atau bank-bank komersial yang mengaku menjual produk perbankan selaras syariah.
Ayuh! Pihak yang berkaitan jadikan masjid sebagai UTC atau pihak Transformasi Ummah Islam jangan biarkan 'orang' lain terus menguasai ekonomi. Biarlah nasib umat Islam, mereka sendiri tentukan.
0 comments:
Post a Comment