Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 26, 2012

RELA - Wira Rakyat


BANYAK perkara sudah dilaksanakan, banyak kerja sudah diselesaikan, banyak amanah juga berjaya disempurnakan. Malahan pertambahan anggotanya sudah menjadi berganda dari hanya kurang dari 500,000 kini sudah menjangkau hampir 4 juta orang. Ini satu pencapaian luar biasa terutama dalam senario sukarela sebagaimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika sebelumnya anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seperti menjadi penyeri majlis dan nasi tambah sebagai pembantu di dalam kerja-kerja ruji masyarakat seperti majlis kenduri kahwin atau tukang tembak musuh tanaman, serta tukang tahan kenderaan bila pasukan keselamatan lain melaksana tugasan, tetapi kini gerak kerja mereka lebih mantap dan teratur.

Pelbagai pancaroba, cabaran sudah berjaya diharungi terutama yang berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan isu-isu hak asasi manusia telah memberikan impak negatif kepada pasukan sukarela ini. Betapa tragis dan menyentuh perasaan kepada setiap anggotanya yang menyumbang masa, tenaga, kepakaran, kesetiaan malahan wang ringgit tetapi masih seperti tidak dihargai ataupun tidak disedari kepentingannya oleh ramai termasuk pihak berwajib.

Bukan sahaja seluruh organisasi pentadbiran pasukan ini masih berada di takuk lama, lebih menyedihkan ia seperti sengaja dikesampingkan sehingga apa sahaja usaha meningkatkan mutu, kecekapan pengurusan malahan imbalan terhadap pengurusan masih belum diberikan kelulusan dan perhatian yang wajar.

Janji menjadikan organisasi ini sebuah jabatan sudah hampir sedekad berlalu. Sudah bersilih ganti menteri dan timbalannya, begitu juga Ketua Setiausaha juga namun Rela masih ditakuk lama walaupun jasa dan sumbangannya sentiasa ditagih tanpa mengira masa.

Perdana Menteri kita menguar-uarkan bahawa kita perlu memacu semangat sukarelawan kepada generasi muda. Supaya generasi ini akan mempunyai motivasi dan hala tuju bagi melaksanakan misi sejagat mengenai keamanan, kemanusiaan, kesejahteraan dan kesaksamaan di seluruh pelosok dunia tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan status sosial semata-mata. Rela segera mengorak langkah dan rencana menyambutnya. Seruan Perdana Menteri perlu diberikan sokongan. Lantas, wacana ini perlu digerak segera dan Rela sudahpun menjadi kepala dalam menggerakannya ke seluruh negara dan ia disokong oleh fakta dan angka penambahan anggota yang begitu nyata.

Sejarah dan pelbagai pengalaman mereka terutama dalam isu berkaitan PATI dan program pencegahan bersama pelbagai pasukan keselamatan tentunya Rela patut menerima perhatian khusus sebagaimana yang diperolehi oleh lain-lain agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Malahan, Kementerian-kementerian lain juga menyedari serta memperakukan sumbangan Rela seperti mana Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi termasuk pihak swasta yang sentiasa bekerjasama mahu Rela bersama dalam pelbagai aktiviti mereka.

Mungkin wujud sedikit komentar negatif mengenai pasukan ini yang sepatutnya dinilai dengan berlapang dada dan bukan sebaliknya. Kerana, jangan disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga. Mungkin lebih banyak tohmahan daripada fakta yang di tuding kepada pasukan ini demi melemahkan peranan sebenar mereka dalam menjadi penggerak utama di sesuatu kawasan apabila berlaku bencana dan ancaman keselamatan melalui strategi 5K yang sudah dikenalpasti sebelumnya.

Kita bimbang dan takut bahawa dalam suasana kritikal masa kini, anasir subversif merancang perang psikologi secara amat teratur. Kerana mereka sudah mengenalpasti benteng-benteng halangan bagi merealisasikan agenda buruk mereka untuk merampas kuasa. Malahan sejak tumpasnya komunis dan Bintang Lima ketika darurat mereka sudah mendapat pengajaran dan bukti bahawa semangat sukarelawan pasukan asas seperti Jungle Squad dan Home Guard memang tidak boleh diperlekehkan.

Peranan pasukan-pasukan di atas kemudiannya diwariskan kepada Rela. Meskipun saban waktu dilaksana proses penambahbaikan tetapi fungsi keselamatan dan kesejahteraan setempat tetap menjadi kata kunci kepada seluruh pergerakan pasukan ini yang amat efisien sehingga berjaya menumpaskan secara total pergerakan subversif dalam negara ini.

Akhirnya, apabila negara sudah aman, kemakmuran meningkat, pelbagai kejayaan sudah dicipta maka peranan pasukan ini semakin dilupakan. Cuma apabila ancaman penyeludupan Pati menjadi begitu berleluasa dalam dekad lalu, Rela diberikan tugas khusus bagi membanteras dan membantu agensi utama seperti Imigresen dan Polis Diraja Malaysia membuat tangkapan, menguruskan depot tahanan dan sebagainya.

Kemudian, selepas tamatnya PRU-12 berlaku senario dalam negara yang sangat mencabar dan berbeza apabila pihak pembangkang mencapai kejayaan yang sangat besar dan menakjubkan. Lantas, nafsu mereka membuak-buak untuk menguasai pentadbiran seluruh negara termasuk bertapak di Putrajaya sebagaimana hasrat dan agenda yang pernah mereka laungkan lama dahulu pada 1969.

Apakah kita fikir bahawa segala agenda, tohmahan dan juga usaha memperkecilkan peranan Rela itu hanya berlaku secara kebetulan? Kalau itu yang difikirkan, kita perlu menelitinya semula dengan lebih saksama kerana tidak ada perkara yang berlaku dewasa ini secara spontan. Malah tidak keterlaluan kalau ditekankan di sini sebenarnya ia adalah memang disengajakan malah dijadikan agenda utama oleh mereka yang benar-benar arif dalam strategi 'psi war'.

Tidak perlu hairan apabila isu keganasan anggota diberikan perhatian di peringkat antarabangsa tetapi kita perlu lebih hairan maklumat itu diperoleh daripada siapa dan benarkah itu satu fakta. Sedangkan, kalau dibuat perbandingan dengan sistem penguatkuasaan oleh 'border security' di negara lain lebih brutal dan di luar batas kemanusiaan berbanding dengan sedikit insiden terpencil di negara kita.

Bandingkan pula ancaman keselamatan yang dijana oleh PATI yang kita tidak mempunyai rekod latarbelakang mereka. Jadikan Rohingya sebagai satu fakta perbandingan di mana layanan di luar batasan kemanusiaan bukan menjadi kayu pengukurnya jika dilihat betapa berhemahnya kita menangani kebanjiran Pati dalam negara.

Paling ditakuti oleh musuh negara adalah terhadap maklumat, pengetahuan dan kepakaran anggota pasukan ini yang seratus peratus adalah ahli masyarakat setempat itu sendiri. Di mana, sudah tentu sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat di kawasan berkenaan segala macam maklumat baik yang positif atau negatif adalah dalam makluman mereka. Inilah yang dikatakan sebagai sumber maklumat prima.


Kerana itu, sebarang aktiviti setempat sekiranya tidak mematuhi undang-undang negara malah menjadi ancaman keselamatan sebenarnya sentiasa dalam makluman anggota Rela di seluruh negara sekiranya ia boleh dikutip dan dianalisis melalui sistem yang baik dan terurus.

Meskipun hasrat membesarkan keahlian Rela termaktub dalam agenda menggalakkan aktiviti sukarela tetapi ia lebih hebat jikalau diiringkan dengan pembinaan jati diri, pengukuhan budaya bangsa, serta peningkatan jaminan keselamatan di seluruh negara tanpa mengambil kira spot-spot yang dijanakan melalui program hot spot dan polisi komuniti semata-mata.

Banyak pihak termasuk ahli politik di dalam kerajaan sendiri agaknya sudah lupa bagaimana Rela sudah memainkan peranan mereka selama ini. Lantas, kealpaan itu kini diambil kesempatannya oleh si Polan yang sudah masak dengan strategi pilihan raya. Mereka semua seolah-olah kini sepakat untuk melondehkan terus semua jentera Rela supaya tidak mampu lagi menjadi benteng pertahanan utama setempat.

Lantas jadilah kini pasukan Rela sebagai pemeriah acara, tukang arak pemimpin negara, tukang heboh sini dan sana sehingga ada satu peranan utama mereka juga dilucut secara tidak ketara. Tentu ada yang tidak menyedarinya, atau bolehkah kita andaikan bahawa mereka ini juga sebenarnya menjadi dalang di dalam selimut negara.

Renungilah tulisan ini dengan dada yang lapang, mata yang terang dan jangan pula berhati walang. Kerana meskipun sudah agak terlewat, tetapi tindakan jangan kekwat supaya kita tidak dilaknat. Gerakan segera tindakan supaya wira yang tidak di dendang tidak menjadi berang akibat sentiasa jadi seperti bola yang sentiasa di tendang. Baik ke tepi atau ke tengah gelanggang akhirnya mereka terbuang dari padang.

Pulihkan dan kembalikan, malah perkasakan secara total pergerakan pasukan Rela di seluruh negara. Semarakkan semangat kesukarelaan negara bersama agenda utama memapankan, mempertahankan malah melaksanakan transformasi kemanusiaan sejagat secara berterusan.

0 comments:

share2