BERAPA banyak agensi pekerja asing yang ada di negara ini? Yang beroperasi secara 'halal' ada, yang haram pun tak kurang banyaknya. Apa pun kategorinya, semuanya sudah pasti mahu untung.
Memang betul bukan menjadi satu rahsia lagi agensi pekerja asing ini boleh buat untung. Keuntungan yang bukan sedikit, berganda-ganda, tapi yang menanggung 'sakitnya' ialah orang ramai.
Mereka yang amat terdesak untuk mendapatkan pembantu rumah, mahu tak mahu terpaksa 'pejam mata' untuk berhabis duit membayar kos yang tinggi dan pada masa sama menghadapi pelbagai risiko sekiranya pembantu rumah yang dibekalkan 'buat hal'.
Entah bagaimana perkiraannya, ada agensi yang mengenakan bayaran sehingga mencecah belasan ribuan ringgit untuk seorang pembantu rumah, sedangkan kos penerbangan dianggarkan sekitar RM4,000 sahaja.
Sudah tentu, siapa pun yang mempunyai modal akan teruja untuk menceburi bisnes ini dengan mengetahui rakyat di negara ini memerlukan khidmat pembantu rumah secara berterusan.
Sudah berapa tahun juga kita asyik mendengar rungutan dan aduan daripada orang ramai yang ditipu dan ditekan dengan harga yang tak masuk akal oleh agensi pekerja asing ini. Sudah ada banyak kes dibawa ke mahkamah, namun ramai juga yang tidak membuat aduan. Sudah 'letih' mungkin.
Menurut Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) Jeffrey Foo, majikan seharusnya lebih berhati-hati dengan meneliti latar belakang agensi pekerja asing sebelum berurusan bagi mengelakkan ditipu.
Kata Foo, tempoh masa yang lama menjangkau lima ke enam bulan dan kos memproses dokumen pembantu rumah yang tinggi menyebabkan ramai majikan terdesak dan terpaksa menggunakan alternatif lain yang menjadikan mereka mudah ditipu.
Baru-baru ini pula, sebuah agensi pekerja asing disiasat polis kerana dipercayai terlibat dalam kes pemerdagangan manusia yang melibatkan 105 wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.
Warga asing terbabit yang mendakwa dilayan tanpa perikemanusiaan dengan bekerja tanpa gaji, dikurung, ada kala tidak diberi makan, dikasari dan dipaksa makan kertas diselamatkan oleh Jabatan Imigresen melalui Operasi Khas 6P.
Sebelum ini juga, kita banyak mendengar agensi pekerja asing haram yang mengambil pekerja asing dengan menggunakan pas lawatan sosial dan menyalahgunakan lesen mereka dengan membekalkan wanita-wanita di pusat-pusat hiburan, yang tentunya bagi kegiatan tidak bermoral.
Dalam pada itu, majikan yang terdesak dalam sektor lain yang mahukan pekerja dengan cepat tanpa perlu melalui proses pengambilan yang sah menyebabkan mereka menggunakan khidmat agensi haram ini.
Apabila warga asing ini bekerja dengan hanya bertiketkan pas lawatan sosial, timbullah pula macam-macam masalah seperti penderaan, dikurung dan gaji tidak dibayar.
Yang menanggung imej buruk dengan tindakan tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing termasuk majikan terbabit ini adalah Malaysia.
Jadi, memang sepatutnyalah sistem perkhidmatan agensi pekerja asing yang banyak memberikan masalah kepada orang ramai termasuk melibatkan rasuah dan penyelewengan ini dilihat semula.
Perkara yang telah berlangsung makan bertahun-tahun ini masih boleh dibetulkan sebelum segelintir agensi yang tidak bertanggungjawab ini menjadi satu institusi 'gergasi' yang berpengaruh dan memijak kepentingan orang ramai.
Maka, saranan agar urusan membawa masuk pekerja asing terutama pembantu rumah dilakukan antara kerajaan dan kerajaan adalah satu langkah yang tepat dan amat wajar dilakukan untuk mengatasi segala kekalutan ini.
Biarlah kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia menguruskan secara terus dengan kerajaan negara yang terbabit.
Dengan cara ini, kos pengambilan menjadi lebih murah tanpa melalui orang tengah yang mungkin ada lagi pihak-pihak yang perlu dibayar sehingga menyebabkan kos pengambilan pekerja asing melambung tinggi.
Dalam pada itu, banyak perkara boleh dielakkan kerana dengan adanya pemantauan secara dekat, urusan sepatutnya menjadi lebih telus untuk tidak membenarkan rasuah dan penyelewengan.
Dan sudah pastinya, jika kerajaan dengan kerajaan sendiri menguruskannya ia diharapkan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan lebih efisien.
Tentu ada cara dan mekanisme yang boleh difikirkan dan diusahakan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menjadikan cadangan ini satu kenyataan tanpa perlu membabitkan khidmat agensi pekerja asing yang akan mengakibatkan kekalutan kembali kepada asal.
Mungkin kementerian ini boleh mewujudkan satu jabatan atau bahagian untuk mengawal selia segala urusan pengambilan pekerja asing ini sepenuhnya di negeri-negeri agar ia dapat dijalankan secara telus.
Bahagian atau jabatan ini juga perlu mempunyai unit aduan, sekiranya terdapat masalah antara majikan dan pekerja. Dengan cara ini, hal-hal aduan dapat diselaraskan. Tidak perlu pergi kepada agensi pekerja asing kerana selepas habis urusan membekalkan pekerja asing, mereka tentu tidak mahu mendengar apa-apa lagi.
Agensi pekerja asing sudah pasti memberi fokus kepada soal untung semata-mata tanpa melihat kepada kualiti dan standard yang diperlukan pekerja asing dalam memenuhi apa jua tuntutan sektor pekerjaan di negara ini. Maka wujudlah rasa tidak puas hati majikan terhadap mutu kerja yang ditawarkan oleh pekerja asing sedangkan mereka sudah mengeluarkan ribuan ringgit untuk mengupah pekerja ini.
Melihat kepada segala masalah, kerenah dan haru-biru yang dicetuskan oleh agensi pekerja asing yang membebankan orang ramai serta menjejaskan imej negara, sudah sewajarnya, sistem pengambilan pekerja asing ini dikaji semula.
Memang benar, 'pembersihan' masih boleh dilakukan pada tahap ini. Apabila sudah terlalu kotor, kesannya susah dan degil untuk ditanggalkan. Jangan tunggu lama-lama.
0 comments:
Post a Comment