Benteng untuk memperkukuhkan tebing Sungai Galing Kecil dibina dengan bahan tengkalak batu (gabion) bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Masalah hakisan itu semakin teruk terutama pada musim hujan menyebabkan penduduk di kawasan berdekatan bimbang.
Bagi penduduk, Albert Kok, 52, masalah tersebut makin membimbangkan sejak tahun lalu sehingga menyebabkan pokok di tebing sungai tumbang.
“Keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang hakisan akan menjejaskan rumah masing-masing.
“Bagaimanapun apabila kerja membina benteng gabion dilakukan, saya harap usaha itu dapat mengatasi masalah hakisan ini,” katanya ketika ditemui pada tinjauan Adun Teruntum, Chang Hong Seong di Sungai Galing Kecil, di sini.
Sementara itu, Hong Seong berkata, pembinaan benteng sepanjang 54 meter di kawasan sungai itu membabitkan kos sebanyak RM80,000.
Katanya, keadaan tebing sungai itu semakin teruk, malah membahayakan penduduk berdekatan.
“Kerja membina benteng dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
“Saya harap pembinaan benteng tersebut akan melegakan penduduk sekali gus mengatasi masalah hakisan," katanya.
Hong Seong berkata, kawasan itu pernah dilanda banjir pada 2003 namun selepas dua jambatan kecil dibina di sungai itu pada 2009, masalah banjir kini dapat diatasi.
0 comments:
Post a Comment