Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 13, 2012

Pluralisme Agenda PKR ?


Naib Presiden PKR Nurul izzah mengatakan dirinya sebagai Muslim - yakni orang beragama Islam boleh menerima LGBT? Bukankah kenyataan dan pandangan ini bertentangan dengan ajaran Islam dan tuntutan Allah SWT.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah membentuk satu fenomena baharu dalam pola pemikiran manusia di Malaysia amnya, bahawa atas kedudukan hak seseorang manusia, maka ia berhak menentukan agamanya.

Adakah segala cetusan idea baru itu baik untuk umat Islam? Walaupun ia bukan satu promosi kepada murtad tetapi kenyataan ini boleh dilihat sebagai satu aliran pemahaman yang memberikan keluasan hak manusia terutamanya orang Melayu untuk memilih agama lain selain Islam.

Dengan tidak secara langsung ia adalah sebuah persepsi bahawa orang Melayu juga harus diberikan hak untuk memilih agama lain selain Islam. Jika hak ini dilaksanakan maka ada kebarangkalian orang Melayu yang lahir sebagai beragama Islam secara automatik mungkin sudah tidak lagi lahir sebagai beragama Islam kerana undang-undang ini akan ditukar oleh mereka untuk memberikan laluan kepada Melayu yang dilahirkan ini memilih agamanya.

Ingin saya menarik perhatian bahawa Nurul Izzah menyebut bahawa "Tiada desakan dalam beragama… mana boleh kita kata 'maaf ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Islam sahaja', ia seharusnya dilaksanakan sama rata."

Sememangnya betul bahawa Islam tidak mendesak sesiapa yang di luar Islam memeluk agamanya tetapi ungkapan atau firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 256 ini hanya berlaku kepada orang kafir yang belum beriman kepada Allah.

Allah SWT berfirman ertinya : "Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar".....(16:106).

Allah juga menyatakan: "Bagaimana Allah akan menunjuk suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuk orang-orang yang zalim."....(Ali Imran:86).

Persoalannya, di mana yang dikatakan orang Melayu yang sudah beragama Islam sejak lahir itu diberikan kebebasan memilih agamanya sendiri? Allah SWT dan Rasulullah SAW telah begitu jelas memberikan pertunjuk dan jalan penyelesaiannya. Kenapa manusia di bumi memandai-mandai menentang firman Allah dan perintah Rasulullah?

Nurul Izzah juga berkata: seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan antara agama Islam dan agama lain di negara ini. Apakah maksud Naib Presiden PKR itu? Adakah agama Islam itu sama dengan agama Hindu, Buddha, dan Kristian?

"Seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan ini" yang dikatakan oleh Nurul Izzah ini apa? Apa dalil dan asas kenyataan ini? Kenyataan ini jelas berideologikan pluralisme.

Nurul Izzah berkata, jika iman seseorang itu kukuh, ia tidak mudah goyah dengan pendakwahan agama lain. Tetapi, adalah lebih baik jika kita mengelakkan perkara-perkara luar seperti pendakwahan agama lain ini berlaku daripada kita cuba menguji sejauh mana iman seseorang.

Apakah Nurul Izzah yakin bahawa umat Melayu di negara ini sudah cukup kuat imannya? Dan apa taraf Nurul Izzah untuk menentukan seseorang itu sudah kuat imannya atau tidak? Jika pandangan Nurul Izzah itu mahu diterjemahkan, maka Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan menghapuskan ciri "Melayu itu wajib Islam".

Apakah sudah ada gerakan anti Perlembagaan Malaysia sekarang ini? Memandangkan pandangan ini dibuat oleh anak ketua pembangkang, adakah ia mewakili pandangan semua parti komponen pembangkang termasuk Pas?

Selain persoalan memberikan hak kepada orang Melayu untuk memilih agamanya, Nurul Izzah juga mengatakan bahawa golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) ini hendaklah dihormati privasinya. Dia juga turut mempertikaikan undang-undang di negara ini berkaitan dengan halangan terhadap LGBT. Menurutnya, selain daripada tempat awam, pihak berkuasa tidak wajar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan gejala tersebut di tempat peribadi.

Kalau begitu, jika ada orang yang melakukan zina, maka pihak jabatan agama Islam negeri tidak boleh menyerbu masuk ketika perkara zina berlaku atas dasar menghormati privasi mereka dan hak mereka melakukan zina di tempat peribadi.

Adakah ini yang dimaksudkan oleh Nurul Izzah? Inikah yang diperjuangkan oleh Naib Presiden PKR itu dan Pas? Adakah ini bermakna melakukan zina atau apa jua aktiviti LGBT secara peribadi lebih mulia kedudukannya daripada mencegahnya menurut al-Quran?

Nurul Izzah berkata lagi, jika undang-undang itu dilaksanakan juga di tempat peribadi ia tidak menghormati hak privasi seseorang. Beliau berkata "Dalam Islam terdapat sekatan berhubung isu LGBT ini. Tapi apa yang penting ialah kita tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa. Kita harus terima mereka ini."

Jika kita perhatikan kenyataan tersebut, maka kita boleh bertanya kepada Melayu Liberalis ini apakah Allah telah menjadikan kaum Nabi Luth ini 'mangsa'? Apakah Allah akan menerima mereka ini? Jika mereka bertaubat, ya benar Allah akan menerima mereka semula. Tetapi jika mereka ingkar, apakah Allah akan menerima mereka?

Yang penting di sini bukan kepentingan mereka tetapi kepentingan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri. Yang penting, sebagai orang Islam kita wajib mempertahankan Islam bukan mempertahankan Hak Asasi Manusia yang bergerak di luar batasan Islam.

Kata Naib Presiden PKR itu lagi: "Pelaksanaan (undang-undang ketika ini) tidak menghormati (pelaku) dan tidak membawa sebarang makna dari segi Islam dan juga mana-mana agama. Kita (Muslim) ada sekatan-sekatan tertentu, tetapi ia tidak seharusnya menceroboh ruang privasi."

Tegas beliau: "Sebagai seorang Muslim, saya boleh terima LGBT. Pada saya, sesiapa yang melakukan orientasi seks mereka di tempat peribadi, kita tidak boleh mengambil tindakan (terhadapnya). Sebagai seorang Muslim, saya tidak boleh menerima ini".


Sebagaimana yang kita maklum, Allah melaknati manusia LGBT ini. Adakah ini diredai juga oleh ahli Pas? Apakah Naib Presiden PKR itu sudah lupa kepada kisah Nabi Luth a.s? Adakah ahli Pas juga sudah lupa dengan kisah Kaum Nabi Luth a.s?

Kesimpulannya, tujuan utama Nurul Izzah memberikan pandangan sebegini adalah kerana ia mahu meraih undi golongan 'urban' yang rata-rata mempunyai pemikiran liberalis.

Naib Presiden PKR itu pada satu sudut apabila berada dalam kelompok Melayu liberalis, dia akan menceritakan dan memberi pandangan serta mendendangkan perkara dan isu yang sedap didengar dan mahu didengar oleh golongan ini.

Apabila berhadapan dengan Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar yang rata-rata fundamentalis Muslim, maka ia akan berteriak dan beria-ria menegakkan daulah Islamiah dengan konsep dan manhaj al adlu wa ihsan.

Nurul Izzah telah meletakkan dan mempromosikan dirinya sebagai Melayu Liberalis dan Melayu oportunis kelas pertama. Kenyataan dia jelas sekali, satu kenyataan politik yang mahukan undi golongan 'urban' bagi mendapatkan faedah politik PKR. Ini menampakkan kesanggupannya untuk berbuat apa saja demi meraih undi untuk ke Putrajaya sehingga maruah dan integriti Islam diperdagangkan dan digadaikan.

Adakah ahli Pas merestui 'lelongan' agama yang sebegini rupa dan adakah masyarakat Melayu Islam di Malaysia telah bersedia menerima politik hipokrasi seperti ini? Dengan mengambil sikap berdiam diri, adakah ini juga pendirian dan perjuangan Mursyidul Am dan Presiden Pas?

0 comments:

share2