Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 8, 2012

Perkukuh Jentera Parti


Jentera UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bera kini perlu diletakkan pada tahap kemuncak dan tidak boleh lagi sekadar dilihat cantik di atas kertas semata-mata.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah semakin hampir, soal asas seperti bilik gerakan yang tidak berfungsi sepatutnya tidak lagi timbul.

''Ketua cawangan dan kepimpinan parti di semua peringkat perlu menghidupkan bilik gerakan serta menyusun organisasi masing-masing bagi memastikan program jangka pendek dan panjang dapat direalisasikan.

''Kini kita tidak ada masa untuk berasa selesa, berpura-pura menunjukkan kehebatan di luar sedangkan jentera pilihan raya lemah dan tidak bermaya menghadapi jentera parti lawan kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 diibaratkan ibu segala pilihan raya.

''Pembangkang dengan sokongan dari luar akan melakukan apa sahaja untuk menang,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dan Taklimat Gerak Kerja Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.

Pada pilihan raya umum lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan Kemayan di samping Parlimen Bera namun sekali lagi gagal merampas DUN Triang daripada wakil DAP.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, jentera setiap parti komponen BN juga perlu bergerak secara bersepadu, mesra rakyat dan menepati sasaran untuk memenangi hati pengundi.

Selain itu katanya, semangat dan nilai kehidupan masyarakat Timur perlu dipraktikkan oleh pemimpin di semua peringkat seperti menziarahi orang sakit, menghadiri kenduri, dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sekali lagi mengulangi keyakinan kerusi Parlimen tersebut dan DUN Guai serta Kemayan akan dapat dipertahankan BN manakala bagi DUN Triang, usaha keras perlu dilakukan secara bersepadu bagi menawan kerusi yang menjadi kubu kuat DAP itu.

''Bagaimanapun BN di Parlimen Bera mempunyai strategi tersendiri untuk menawan DUN Triang dan trend terkini sokongan kepada kita semakin meningkat, jadi tidak mustahil kerusi itu dapat dirampas," katanya.

0 comments:

share2