Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 12, 2012

Tamparan Buat Puak Anwarinas


WALAUPUN menghadapi pelbagai tekanan dan desakan, namun golongan ulama yang menganggotai Majlis Syura Ulama Pas ternyata konsisten dalam pendirian mereka berhubung kedudukan Nasharudin Mat Isa.

Justeru apabila majlis berkenaan tidak membuat sebarang keputusan ke atas bekas Timbalan Presiden Pas itu, ia bukanlah satu kejutan. Ia memandangkan sejak awal lagi golongan berkenaan telah memberi isyarat bahawa mereka tidak nampak kenapakah Nasharudin perlu dihukum.

Kenyataan Nasharudin supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang berikutan penentangan keras DAP terhadap perjuangan Islam Pas tidak dianggap satu kesalahan bagi golongan ulama.

Sebab itulah, dengan 'diketuai' oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din, beberapa ulama buat kali pertamanya tampil secara terbuka mempertahankan Nasharudin.

Satu sumber memberitahu penulis, ketegasan golongan ulama itu mengejutkan kelompok Anwarinas yang sebelum ini menjangkakan mereka akan mudah menyingkirkan Nasharudin seperti mana berlaku ke atas Datuk Dr.Hasan Ali.

Tambahan pula, kata sumber itu, puak Anwarinas begitu yakin Nasharudin akan dipecat kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat membuat kenyataan cenderung ke arah 'menyokong' impian mereka.

Apatah lagi, kata sumber tersebut, puak berkenaan juga gembira apabila seorang pemimpin bertaraf ulama membuat kenyataan dalam portal propembangkang menggesa Nasharudin dipecat.

''Bagaimanapun keadaan menjadi sebaliknya apabila Haron Din dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat penegasan bahawa kenyataan Nasharudin bukanlah satu perkara besar sehingga boleh melibatkan pemecatan,'' kata sumber itu ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Namun begitu, kata sumber itu lagi, puak Anwarinas tetap tidak berputus asa, selain kenyataan-kenyataan yang dibuat menjurus ke arah untuk memberi tekanan kepada Majlis Syura membuat keputusan, mereka juga berdoa 'siang dan malam' agar Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat majlis berkenaan, kelmarin.

Malahan dalam satu blog propembangkang, seorang pemimpin kanan Pas daripada golongan Anwarinas dengan penuh yakin menyatakan bahawa Nasharudin tidak akan hadir kerana Ahli Parlimen itu berada di Jerman.

''Perancangan awal mereka ialah jika Nasharudin tidak hadir, mereka akan meminta 'penyokong' mereka dalam Majlis Syura membentangkan usul supaya Nasharudin digugurkan sebagai anggota majlis berkenaan.

''Apabila itu berlaku, ia akan meletakkan status Nasharudin sebagai ahli Pas biasa dan sekali gus akan membuka laluan untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang dikuasai oleh puak Anwarinas memecat beliau,'' kata sumber itu.

Bagaimanapun sekali lagi impian puak berkenaan tidak kesampaian apabila Nasharudin dengan wajah ceria muncul di Ibu Pejabat Pas, 10 minit sebelum mesyuarat bermula.

Kemunculan beliau mengejutkan puak-puak Anwarinas yang menurut sumber tersebut, 'sudah bersedia untuk berpesta' pada malam berkenaan.

''Kehadiran Nasharudin ternyata memusnahkan impian puak Anwarinas untuk menamatkan karier politik beliau, apatah lagi Nik Abdul Aziz pula meninggalkan mesyuarat atas sebab tidak sihat,'' kata sumber tersebut.

Apa pun, pendirian Majlis Syura Ulama Pas itu memberi isyarat kepada puak Anwarinas bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan mana-mana ulama semata-mata demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.

''Bagi saya, keputusan majlis syura itu adalah satu perakuan dan pengiktirafan bahawa Majlis Syura Ulama Pas menyokong kenyataan Nasharudin berhubung kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang dan perjuangan Islam,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi di Shah Alam.

Selain itu, kata beliau, keputusan tersebut adalah satu tamparan kepada kelompok atau puak Anwarinas di dalam Pas yang sebelum ini begitu ghairah menyokong apa juga yang dilakukan oleh PKR dan DAP demi mencapai impian ke Putrajaya.

''Tidak semua ahli Pas berkongsi idaman dengan puak-puak Anwarinas ini, sebab itulah kita saksikan bagaimana Nasharudin mendapat sokongan yang agak luar biasa daripada ahli-ahli Pas seluruh negara,'' katanya.

Sememangnya sekalung tahniah kepada golongan ulama kerana akhirnya mereka membuktikan kepada puak-puak Anwarinas bahawa tidak semua pemimpin Pas begitu teruja hendak ke Putrajaya sehingga sanggup mengorbankan segala-galanya.

Selain itu, pujian juga harus diberikan kepada Nik Abdul Aziz yang ternyata masih menunjukkan rasa hormat beliau terhadap pandangan golongan ulama dalam majlis syura.

Sikap Mursyidul Am Pas itu dikatakan melegakan ahli-ahli di peringkat umbi kerana sebelum ini mereka berasa bimbang memandangkan puak Anwarinas kebiasaannya akan menggunakan pengaruh Nik Abdul Aziz bagi mencapai impian mereka.

''Tetapi ternyata Nik Abdul Aziz menunjukkan jiwa besar, apabila tidak terikut-ikut dengan puak Anwarinas, sebaliknya mahu menerima keputusan dan pendirian golongan ulama dalam Pas,'' kata seorang pemimpin Pas di sebuah bahagian di Kedah dalam SMS kepada penulis.

Apa pun, golongan ulama telah memberi isyarat kepada pemimpin-pemimpin PKR supaya janganlah cuba mengajar mereka bagaimana untuk menguruskan parti.

Mungkin mereka berhasil dalam misi menyingkirkan Dr. Hasan, tetapi keadaan akan menjadi sebaliknya jika bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu diberi kesempatan untuk membuat penjelasan kepada Majlis Syura.

Ia memandangkan, perjuangan Nasharudin tiada bezanya dengan Dr. Hasan yang tidak rela Pas diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Selain itu, kedua-dua mereka juga mahu Pas kekal dengan dasar perjuangan asal dengan memastikan matlamat memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud tidak ditinggalkan.

Walaupun Dr. Hasan 'tidak dapat diselamatkan' oleh golongan ulama namun keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura berhubung kes Nasharudin adalah isyarat kepada DAP bahawa tidak kira apa pun berlaku golongan berkenaan tetap tidak akan meninggalkan perjuangan Islam dan hukum hudud.

Keadaan ini juga sudah tentulah akan merimaskan puak Anwarinas yang mula merasakan bahang ketegasan golongan ulama.

Bagaimanapun ramai yang percaya usaha puak Anwarinas untuk menamatkan karier politik Nasharudin tidak akan berakhir. Setakat ini pun mereka dilihat sudah berjaya apabila Nasharudin dikatakan tidak akan dicalonkan semula dalam pilihan raya umum akan datang.

Tetapi ini bukan bermaksud, mereka akan menempuh laluan mudah untuk menyingkirkan mana-mana ulama yang tidak sehaluan dengan mereka.

Ia memandangkan Majlis Syura Ulama telah memberi isyarat yang jelas dalam kes Nasharudin bahawa mereka masih lagi berkuasa dan berpengaruh untuk mengendalikan Pas serta tidak akan menjadi 'pak turut' seperti mana puak Anwarinas.

0 comments:

share2