KENYATAAN Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menerusi laman
twitter yang mempersoalkan penentangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Khairy Jamaludin, terhadap filem
Innocence of Muslims sebagai membuang masa dan tenaga adalah suatu provokasi dan menghina.
Beliau seorang Kristian - sekiranya ada pihak menerbitkan filem
bertajuk "Jesus is a questionable baby" tentu ia sensitif bagi orang
Kristian. Sekiranya orang Kristian mengadakan penentangan apakah ia
suatu langkah yang membuang masa dan tenaga?
Koo Ham kena faham, menghina para Nabi dan Rasul apalagi Nabi
Muhmammad SAW dengan penghinaan yang dahsyat adalah tidak diterima oleh
masyarakat beragama lebih-lebih lagi orang Islam. Barat umpamanya sering
menimbulkan isu ekstremisme yang selalu dihubungkan dengan orang Islam.
Tetapi Barat lupa akan punca yang menyebabkan ekstremisme itu
terjadi. Perlakuan media Barat dan dasar sesetengah negara yang tidak
adil terhadap umat Islam menyebabkan umat Islam tidak puas hati dengan
apa yang berlaku.
Orang Barat mengambil pendekatan moderate ikut ukuran mereka tetapi
Islam memilih wasatiyyah sebagai suatu cara kerana ia ada hubungannya
dengan syariat.
Keceluparan pemimpin DAP akhir-akhir ini terhadap isu negara Islam,
hudud dan juga filem menghina Nabi adalah gambaran yang tidak baik bagi
sebuah anggota pakatan pembangkang yang ingin berkuasa.
Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menyatakan
umat Islam wajib menentang apa saja bentuk penghinaan terhadap para Nabi
dan Rasul serta agama Islam (
Utusan Malaysia, 19 September 2012) menarik untuk diteliti.
Telah berulang kali pemimpin DAP menghina konsep negara Islam, hudud
dan yang terakhir isu filem menghina Nabi Muhammad SAW, apakah ia tidak
dilihat kenyataan memusuhi. Kalau begitu apa makna dan sikap Pas yang
masih bertahan dengan tahalluf siasi atau kerjasama politik dengan DAP.
Paling tidak isu negara Islam dan hudud adalah sesuatu yang
legitimate atau sah dari sudut perjuangan Pas. Tetapi ia tidak
dimasukkan dalam
Buku Jingga yang menjadi dasar perjuangan
pakatan pembangkang dan Anwar Ibrahim juga tidak berminat untuk
melaksanakan hudud sekiranya dia berkuasa sebagai Perdana Menteri. Kena
tunggu persetujuan DAP dulu. DAP selamanya menyatakan penentangan
terhadap isu itu.
Kalau begitu apa lagi yang ditunggu oleh Pas kerana DAP teguh menentang dan Anwar juga tidak berminat.
Bila Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi di Masjid Kampung Baru dan
Pemuda Pas mengadakan demonstrasi atas isu yang sama di depan Kedutaan
Amerika Syarikat, apakah Pemuda Pas juga dilihat sebagai 'membuang masa
dan tenaga' oleh Koo Ham?
Pemuda Pas tentu mempunyai pendirian bahawa penghinaan terhadap Islam
dan umatnya mesti dibela. Langkah Pemuda Pas ini harus lebih jauh lagi
termasuk isu murtad, kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender
(LGBT), fahaman pluralisme agama, pengaruh agensi Zionis terhadap tokoh
dan agensi kerana ia adalah gerak kerja anti agama dan Islam.
Tanggapan orang ramai terhadap Pas seolah-olah bersekongkol dengan
tokoh dan pihak yang memperjuangkan isu ini, sedangkan gerak kerja
mereka secara jangka panjangnya lari daripada Islam dan menghina agama
ini juga.
Dengan demonstrasi Pemuda UMNO dan Pas ini walaupun tempatnya tidak
sama tetapi ada perkongsian isu secara bersama. Bukan Khairy saja yang
menjadi sasaran kecaman Koo Ham tetapi Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin
Hassan juga dilihat sebagai membuang masa dan tenaga.
Apakah kenyataan Koo Ham ini boleh diterima oleh Pas. Kalau Pas tidak
boleh menerima kenyataan Koo Ham ini mengapa dalam isu yang lebih besar
seperti negara Islam dan hudud, parti itu hanya gamak membuat kenyataan
tetapi tidak tergamak membuat keputusan.
Yang lebih menghairankan Pemuda Keadilan tidak ikut serta dalam
demonstrasi ini. Mengenali Ketuanya, Shamsul Iskandar memang gemar
melakukan demonstrasi yang bersifat politik.
Apakah sikap membisu terhadap isu-isu Islam ini membayangkan Pemuda
Keadilan sedang mengalami sindrom 'kecairan' dalam perjuangan Islamnya
atau isu Islam seperti ini tidak menjadi dasar perjuangan
Buku Jingga.
0 comments:
Post a Comment