Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyaluran dana asing untuk
aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang membuktikan
wujud campur tangan pihak luar untuk menukar kerajaan sedia ada kepada
kerajaan yang boleh mengikut telunjuk mereka.
Menurut bekas Perdana Menteri, modus operandi yang digunakan adalah
sama seperti di Libya, Mesir dan negara Arab lain yang mereka namakan
sebagai
Arab Spring, iaitu pihak asing memberi bantuan kewangan
bagi membiayai aktiviti NGO mengapi-apikan rakyat supaya bangkit
menentang kerajaan dan melakukan apa yang dikatakan sebagai
regime change.
"Kerajaan interim Mesir telah pun menghentikan kegiatan sesetengah
NGO ini yang datang dari Amerika. Mereka ini sebenarnya dibiayai oleh
kerajaan (Amerika), mereka pergi ke Mesir dan cuba mempengaruhi orang
Mesir dan siapa-siapa yang hendak menghadapi pilihan raya. Mesir telah
menghalang mereka daripada masuk campur (dalam pilihan raya).
"Kita tak pernah campur tangan, tak pernah pergi kacau (pilihan raya
negara mereka) dia punya pilihan raya, dia punyalah. Kita punya pilihan
raya adalah hak rakyat kita, pasal apa dia nak cuba pengaruhi orang
untuk menukar kerajaan, kerajaan yang mesra kepada mereka? Inilah
tujuannya. Ini yang diuar-uarkan sebagai
regime change," katanya.
Dr. Mahathir diminta mengulas pendedahan akhbar kelmarin mengenai
penyaluran dana asing kepada NGO dalam negara termasuk RM1.6 juta yang
diterima Suara Rakyat Malaysia (Suaram) daripada
National Endowment for Democracy (NED) dan RM845,835 daripada
Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diasaskan oleh penyangak mata wang George Soros.
Menurut bekas Perdana Menteri seperti yang pernah ditulis oleh beliau
di dalam blognya, apa yang dimahukan oleh pihak asing itu bukan setakat
regime change atau perubahan kerajaan yang memerintah tetapi
perubahan yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana
Menteri Malaysia. Beliau yakin penyaluran dana asing termasuk untuk perhimpunan Bersih
dan pelbagai lagi adalah sebahagian daripada operasi untuk menyokong
Anwar.
"Jerman pun bagi duit, apa kena-mengena dengan Jerman? Adakah anda
tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang dan mahu menjatuhkannya? Kalau
nak bagi duit, bagi dua-dua belah (pihak). Bagi kepada pihak penyokong
kerajaan dan pihak pembangkang tak apa. Tapi apabila anda memberi dana
hanya kepada satu pihak bermakna anda mengapi-apikan rakyat supaya
menentang kerajaan.
"Ini salah! Ia adalah hak rakyat negara ini untuk memilih kerajaan
yang mereka kehendaki bukannya orang luar menentukan kerajaan yang
mereka mahukan," tegasnya.
Dalam keadaan ini, Dr. Mahathir berkata, apa yang diperjuangkan oleh
NGO yang menerima dana asing ini bukan lagi mewakili suara rakyat
Malaysia sebaliknya suara pihak luar.
"Ia bukannya inisiatif rakyat Malaysia tetapi inisiatif orang asing.
Tak kan kita hendak dikuasai oleh orang asing? Dia bagi duit sana nak
bagi jatuh kerajaan supaya orang dia dapat naik dan orang dia di sini
secara terang lagi bersuluh, dia nak Anwar. Jadi siapa yang nak pilih
Perdana Menteri Malaysia, orang Malaysiakah orang asing?," soalnya.
Baginya beliau boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia sendiri yang
membuat keputusan hendak memilih Anwar tetapi biarlah pilihan itu dibuat
tanpa dipengaruhi oleh tangan-tangan asing.
"Jika anda (pihak asing) cuba mempengaruhi pilihan orang kita dengan bagi duit, itu rasuah!" tegasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment