Kira-kira 1.3 juta penjawat awam akan menerima bonus satu setengah bulan gaji manakala pesara pula RM500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bayaran bonus
itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada Disember
manakala selebihnya pada Januari depan.
Katanya, setengah bulan lagi telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri lalu.
Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan
pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji," katanya dalam
pembentangan Bajet 2013 semalam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian bonus tersebut
diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang
berkeluarga bagi menghadapi musim persekolahan pada awal Januari depan.
Najib turut mengumumkan bakal-bakal haji yang mencarum dalam Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibenar mengeluarkan simpanan
daripada Akaun 2 bagi menampung kekurangan kos tambang.
Katanya, inisiatif itu terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000.
Selain itu Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan
pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua
dengan kriteria penerima diperluaskan kepada individu bujang berumur 21
tahun ke atas, berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.
Perdana Menteri berkata, pemberian sebanyak RM250 menerusi bantuan dikenali BR1M 2.0 itu mula dibayar awal tahun depan.
Kriteria penerima masih sama iaitu ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Menurut beliau, bantuan itu akan memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan
2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.
"Penerima BR1M tidak perlu lagi mendaftar untuk kali kedua, manakala
pemohon baru pula perlu mendaftar mulai November 2012 secara dalam
talian atau kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan
Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara," katanya lagi.
BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan
kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah
berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta
isi rumah, membabitkan peruntukan hampir RM2.16 bilion.
Di samping itu, Perdana Menteri turut menyatakan komitmen kerajaan untuk meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan prauniversiti dengan nilainya ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 untuk manfaat seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
0 comments:
Post a Comment