Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 23, 2012

Jangan Jadi Pengganggu Keamanan - Tengku Abdullah


KUANTAN- Generasi muda perlu sedar akan tanggungjawab mereka untuk bersama-sama menjaga keamanan di sekitar kejiranan masing-masing dan bukan menjadi ‘pengganggu’ kepada kesejahteraan hidup penduduk yang lain.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyarankan agar golongan tersebut perlu didik dengan tanggung jawab itu supaya mereka juga boleh menjadi sebahagian anggota masyarakat yang prihatin.

Pada masa yang sama baginda turut menyarankan supaya komuniti sesebuah taman perumahan perlu bersama-sama memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduknya sentiasa terjamin.

“Pihak polis sentiasa menjalankan tugas rondaan di setiap kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa selamat dan bebas daripada sebarang aktiviti jenayah namun tugas itu tidak sewajarnya diletakkan di bahu mereka semata-mata.

“Sebagai warga prihatin, semua penduduk perlu memainkan peranan masing-masing termasuk sentiasa bekerjasama dengan pasukan polis menjaga keamanan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyerahkan dua buah motosikal kepada Balai Polis Indera Mahkota sempena Majlis Perasmian Surau Taman Mahkota Putra di sini, petang kelmarin.

Motosikal Jenis Honda EX-5 itu diserahkan khusus untuk kegunaan anggota balai terbabit membuat rondaan di sekitar taman perumahan tersebut dan kawasan sekitarnya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Abdullah juga menyarankan supaya semua taman perumahan menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) masing-masing.

0 comments:

share2