Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 29, 2012

Jangan Gadaikan Hak Sendiri


KUANTAN - Penduduk di Sungai Lembing diminta supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya bersama-sama untuk membangunkan bandar warisan itu sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pekan yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan itu mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, antara tempat menarik yang terdapat di situ adalah Bukit Panorama, Lubuk Beruk, Air Terjun Pelangi, Kawasan Rekreasi Pasir Kubur dan Ladang Rusa.

“Saya percaya apabila terowong dan Jalan Sungai Lembing-Jerantut siap kelak, lebih ramai pelancong akan datang ke sini.

“Pembangunan Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja akan menambah jumlah pelancong ke negeri ini malah dapat membuka mata pencarian penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan rumah rehat Persatuan Kwong Siew Sungai Lembing.

Abdul Manan berkata, masyarakat di Sungai Lembing juga perlu bersiap sedia dengan kemajuan di pekan itu ekoran pembangunan pesat yang kini sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Apabila kerajaan telah menarik balik status bandar bebas cukai di kawasan sini, maka kita cuba bangunkan Sungai Lembing ini sebagai bandar pelancongan.

“Kalau kita boleh majukan Kuantan, Kuala Lumpur, tidak ada sebab kita tidak boleh majukan Sungai Lembing yang kini merupakan sebuah Bandar Warisan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pembangunan di Sungai Lembing membuktikan kerajaan tidak memilih kawasan dalam memastikan rakyat menikmati kehidupan selesa tanpa mengira kaum dan agama.

0 comments:

share2