Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 27, 2012

Susunan Gerai Untuk Keselesaan Pengunjung


BANDAR JERANTUT – Pendekatan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melakukan perubahan susunan gerai perniagaan dan penggunaan khemah lengkung disambut baik pengunjung Bazar Ramadan Jerantut.

Pengunjung dari Ulu Cheka, Razali Isa, 50, berkata, perubahan itu membawa impak positif dan memberi kelainan berbanding tahun lalu.

Menurutnya, konsep tahun lalu menyukarkan pengunjung terutama apabila tiba waktu puncak kerana susunan gerai dan ketiadaan ruang menyebabkan pergerakan pengunjung terbatas.

“Susunan baru kali ini ditambah pembukaan lokasi baru membolehkan orang ramai datang ke Bazar Ramadan dan memilih menu dari setiap arah gerai.

“Banyak ruang boleh dilalui kini di setiap lorong dan bahagian kiri serta kanan gerai. Pengunjung juga lebih mudah berselisih dan memilih juadah untuk dibeli,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengunjung dari Bukit Nikmat Hilir, Asrul Abdul Hamid, 38, berkata, konsep baru diperkenalkan MDJ disambut baik yang dilihat memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.

“Penyusunan gerai mengikut zon dan penyediaan ruang di semua bahagian untuk pengunjung bergerak mengatasi masalah kesempitan dan kesesakan.

“Pengunjung tidak lagi perlu berlaga bahu semata-mata untuk memilih juadah. Bagi juadah terkenal seperti murtabak, lebih mudah bagi pengunjung untuk membeli tanpa perlu berasak,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Bandar Jerantut, Nordin Wahid, 59, berkata, konsep zon dan penyusunan baru gerai perniagaan itu juga memudahkan pengunjung mencari juadah dikehendaki tanpa perlu membazir banyak masa.

Menurutnya, Bazar Ramadan Jerantut ini boleh dikategorikan sebagai unik kerana menjadi tarikan semua kaum termasuk pelancong asing.

“Konsep diperkenalkan MDJ ini menjurus kepada 1 Malaysia yang memberi keselesaan kepada semua kaum untuk datang berbelanja.

“Wajar ia dikekalkan kerana memudahkan pergerakan pengunjung, lebih menarik, sistematik, kemas dan selesa,” katanya.

0 comments:

share2