Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 1, 2012

Sukma Bakal Menjana Ekonomi Masyarakat Setempat


Seramai 500 usahawan di daerah ini berpeluang menjalankan perniagaan di beberapa lokasi strategik termasuk di kawasan penginapan atlet dan venue kejohanan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012 yang akan berlangsung mulai 7 hingga 16 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, bagaimanapun semua peniaga berkenaan diingatkan supaya menjual produk berkualiti, selain mematuhi segala peraturan ditetapkan.

Menurut beliau, peniaga berkenaan dikenal pasti melalui beberapa agensi termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

''Ini peluang kepada peniaga terbabit menambahkan pendapatan mereka. Bagaimanapun, para peniaga tidak boleh mengambil kesempatan ke atas pelanggan, malah perlu menyediakan produk yang baik.

"Semua produk terutama makanan mestilah dalam keadaan baik dan harga ditawarkan juga mestilah berpatutan supaya tidak menimbulkan persepsi negatif kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kelab Pembinaan Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang, Suhaimi Mansor.

Sukma 2012 yang bermula 7 Julai sehingga 16 Julai ini bakal berlangsung di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh.

Sementara itu, kata Ishak, tapak-tapak perniagaan tersebut juga telah disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kebanyakannya terletak di sekitar penginapan para atlet, kawasan sekolah dan beberapa tempat strategik.

"Kita beri peluang ini untuk usahawan menambah pendapatan mereka pada sepanjang kejohanan Sukma yang akan berlangsung di sini tidak lama lagi.

"Secara tidak langsung, mereka dapat memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat luar di seluruh negara yang bakal berkunjung ke negeri ini," katanya.

Ishak juga berkata, kadar sewa ditetapkan amat berpatutan dan istimewa, sesuai hasrat kerajaan menggalakkan peniaga meningkatkan pendapatan.

0 comments:

share2