ROMPIN – Dua kenderaan remuk selepas masing-masing merempuh seekor babi hutan yang melintas jalan di Kilometer 132 Jalan Kuantan Seremban, di sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, sebuah kereta Perodua Kancil remuk pada bahagian bamper depan, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora pula remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata,kehadiran secara tiba-tiba babi hutan itu menyebabkan pemandu kereta kancil, Wan Mohd Saiful Wan Ishak, 24, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh haiwan terbabit.
“Pemandu kancil terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Keratong 9, namun mangsa tidak sempat mengelak apabila seekor babi hutan tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya.
Johari berkata, secara kebetulan, Proton Exora yang melalui jalan bertentangan tidak sempat mengelak apabila haiwan itu tercampak ke kiri jalan lalu terkena bonet depan kenderaan terbabit.
“Proton Exora yang tidak sempat mengelak haiwan itu berhenti secara tiba-tiba hingga mengakibatkan cermin depan tempat duduk penumpang pecah,” katanya.
Sementara itu, pemandu Proton Exora, Mohd Zainudin Sulong, 38, berkata, kemalangan itu menyebabkan urusannya untuk pulang segera ke rumahnya di Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, tergendala.
“Kereta saya rosak teruk dan mujur adik saya dari Kuantan datang ke tempat kejadian sebelum menghantar kami pulang ke rumah,” katanya.
Mohd Zainudin yang juga seorang anggota tentera di Gemas berkata, seorang anaknya, Khairul Afiq, 13, mengalami luka di bahagian tangan selepas terkena serpihan kaca cermin depan kereta tersebut.
Bagaimanapun, katanya, lima penumpang lain termasuk isterinya, Sulaiha Mustafa, 34, dan empat lagi anaknya iaitu, Khairul Nizam, 10, Khairul Hakimi, 9, Khairul Zakirin, empat tahun dan khairul Ikhwan yang berusia dua bulan, tidak mengalami kecederaan.
“Apa pun saya reda dengan kejadian ini dan bersyukur kerana kami selamat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment