Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 19, 2012

Peneroka Jangan Ditipu Pembangkang


TEMERLOH 17 Jun - Lebih 100,000 peneroka di seluruh negara diingatkan tidak membenarkan diri mereka diperalatkan oleh pembangkang yang tidak pernah jujur memperjuangkan kepentingan warga Felda.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebab itu para peneroka mesti menilai dengan bijak setiap perkara yang dibawa pembangkang yang kini digerakkan menerusi pertubuhan dikenali Anak agar masa depan mereka tidak terjejas.

"Ini termasuk tindakan Anak yang dilaporkan mahu menganjurkan perhimpunan membantah penyenaraian aset Felda di ibu negara dengan memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam isu itu.

"Apa yang jelas ia satu tindakan biadab apabila mahu mengheret pihak istana dalam hal penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat di Kampung Batu Papan Bera, dekat sini semalam.

Beliau diminta mengulas rancangan Anak untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara bulan depan bagi menghalang penyenaraian aset Felda dengan memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam isu itu.

Sementara itu, tegas Ismail Sabri, sebilangan kecil peneroka yang tidak yakin dengan penyenaraian tersebut tidak seharusnya mengambil tindakan yang menyusahkan majoriti warga Felda lain yang mahu memiliki saham FGV.

"Ia tidak adil kepada majoriti yang menyokong walaupun pada masa sama kita lihat yang halang penyenaraian FGV juga terbabit mengambil 'durian runtuh' baru-baru ini," katanya.

Dalam isu berasingan, Ismail berkata, SSM menyasar untuk mendaftarkan lebih banyak peniaga dan penjaja melalui gerakan pendaftaran syarikat secara bergerak ke seluruh negara mulai tahun ini.

Beliau berkata, melalui gerakan turun padang mendaftar secara bergerak itu diharap membantu orang ramai terutamanya para peniaga dan penjaja kecil mendaftar dengan SSM secara mudah tanpa perlu ke pejabat.

"Sehingga kini semua negeri telah mempunyai unit bergerak dan negeri yang kawasannya luas, unit itu akan ditambah. Semua negeri juga mempunyai cawangan SSM dan sesetengah daerah turut mempunyai pejabat cawangan kecil bagi memudahkan orang ramai mendaftar," katanya.

Menurut Ismail, apa juga perniagaan yang dijalankan perlu didaftarkan dengan SSM kerana melalui pendaftaran tersebut, peniaga dan orang ramai mudah mendapatkan pinjaman TEKUN, bank, lot perniagaan dan sebagainya.

Tambahnya, selain kemudahan yang terbaru itu, kerajaan akan turut memberikan perlindungan insurans kepada para peniaga dan penjaja bagi melindungi mereka jika ditimpa kemalangan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu, sehingga Mei 2012 lalu, sebanyak 4.77 juta syarikat termasuk peniaga, penjaja dan orang perseorangan telah mendaftar dengan SSM.

Katanya, sebanyak 992,386 daripadanya adalah syarikat sendirian berhad dan selebihnya adalah syarikat perseorangan dan lain-lain.

0 comments:

share2