AKHIRNYA perkara yang dinanti-nantikan tiba juga. Parti-parti pembangkang kini berpeluang menyiarkan manifesto masing-masing di stesen-stesen televisyen tempatan termasuk RTM semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Semua pihak baik parti politik dan rakyat biasa wajar menyambut baik langkah Kabinet membenarkan manifesto atau ‘ikrar pilihan raya’ disiarkan menerusi televisyen tempatan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun menyambut baik keputusan itu sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.
Melalui penyiaran itu, masyarakat umum dapat menilai sendiri manifesto parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRU-13.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kelmarin menjelaskan, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini dan ia juga diputuskan berikutan penubuhan jawatankuasa khas berhubung perkara itu di Dewan Rakyat.
Keputusan itu selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Negara yang menghormati dan mengiktiraf hak kebebasan bersuara.
Berdasarkan penjelasan Rais, stesen televisyen BBC di England misalnya memperuntukkan kira-kira 10 hingga 15 minit untuk parti-parti politik di sana menyiarkan manifesto dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh stesen itu.
Begitu juga peluang yang sama dengan syarat tertentu diberi oleh stesen televisyen di Singapura, Thailand dan Myanmar dalam pilihan rayanya baru-baru ini.
Apa pun diharap penyiaran program itu tidak dilakukan secara langsung. Bimbang peluang yang diberi akan disalah guna oleh parti politik untuk menghentam dan memburuk-burukkan parti lawan.
Belajarlah daripada siaran langsung setengah jam Sidang Dewan Rakyat yang disiarkan pertama kali melalui RTM pada 2008. Muncul di televisyen bukan satu pasport bebas kepada mana-mana parti terutama pembangkang untuk tidak menghormati dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Kita sedar pihak pembangkang cukup licik dan kreatif strateginya apabila diberi peluang terbuka. Jadi eloklah setiap parti politik diberikan masa yang dihadkan untuk bersiaran.
Buatlah program dalam bentuk rakaman. Dengan langkah ini, pihak parti politik juga dapat menyunting bagi memotong atau menambah fakta di mana yang perlu dalam tempoh yang ditetapkan. Tempoh yang diperuntukkan muncul di televisyen perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Pemimpin pembangkang sering berceramah seolah-olah merekalah yang hebat. Apabila pemimpin parti ‘masuk’ televisyen untuk menjual manifestonya, barulah kita tahu sama ada idea parti mereka lebih baik atau tidak daripada parti politik lain.
Melalui siaran manifesto di televisyen nanti, rakyat akan menilai sejauh mana parti politik yang bertanding pada PRU-13 mampu memimpin negara, menunaikan janji dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Sebelum program itu berlangsung, tertanya-tanya benarkah parti-parti politik akan memenuhi syarat dan peraturan yang akan ditetapkan. Atau pelbagai alasan dicari untuk ‘mensia-siakan’ peluang keemasan yang diberi oleh kerajaan?
0 comments:
Post a Comment