Komputer peribadi (PC) telah mendominasi kehidupan moden manusia selama 25 tahun tetapi peralatan dan komponen yang besar dan berat semakin kalah kepada alat elektronik lebih kecil terutamanya telefon pintar dan komputer tablet. Pengusaha sektor jualan PC kini berusaha keras untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka selepas dilanda fenomena telefon pintar yang dimulakan pengasas Apple, mendiang Steve Jobs.
Gergasi teknologi Hewlett-Packard (HP) yang masih berpegang kepada perniagaan teras berasaskan PC dan mesin cetak baru-baru ini mengumumkan pengurangan sebanyak lapan peratus daripada kakitangannya iaitu 27,000 pekerja menjelang 2014. Langkah itu dijangka akan menjimatkan sekurang-kurangnya AS$3 bilion (RM9.46 bilion) kos operasi syarikat tersebut.
Pengurusan syarikat itu juga dilaporkan mengakui kepada Wall Street bahawa HP akan bergerak sebagai sebuah syarikat lebih kecil kelak. Walaupun merupakan pengeluar terbesar PC dunia, HP dikatakan gagal memenuhi tuntutan pengguna untuk penghasilan komputer tablet dan telefon pintar. Teknologi peralatan canggih baru dan mudah alih itu kini kelihatan dikuasai syarikat Apple berpusat di Silicon Valley, Amerika Syarikat dan Samsung di Korea Selatan.
Pada 2007, Jobs menyatakan Apple akan memperbaharui telefon bimbit. Ketika melancarkan iPad pada 2010, mendiang menyebut pula visi 'dunia pasca-PC'. Kebanyakan pengeluar komputer lain tidak mengambil serius visinya itu dan meneruskan penghasilan PC yang besar serta komputer riba. Selepas beberapa tahun, pilihan Jobs terbukti tepat dan menjadi pilihan para pengguna. Dahulu, kata-katanya seakan-akan 'cakap besar' tetapi kini skrin sentuh telah menjadi standard prestasi dan pengambilan baru pada telefon bimbit.
Produk iPhone Apple dilihat telah mengubah corak industri kerana buat kali pertama pendekatan diambil untuk memberi fokus kepada perisian aplikasi dan bukannya kepada produk itu sendiri. Di awal 2010, mendiang Jobs memberi 'pukulan maut' kepada industri PC apabila melancarkan komputer tablet Apple dengan nama iPad yang melonjakkan syarikat itu ke satu tahap lebih tinggi. Dalam suku pertama 2012 sahaja, sebanyak 12 juta iPad dan 35 juta iPhone telah dijual di seluruh dunia. Untuk perbandingan, sebanyak 89 juta PC telah dijual dalam tempoh sama tetapi mengambil kira kesemua pengeluar komputer sedangkan Apple berdiri sendiri. Ketika Apple menunggang arus perkembangan teknologi mudah alih dengan iPad dan iPhone serta MacBook dalam pasaran komputer notebook, HP pula masih belum mempunyai komputer tablet ataupun telefon pintar sendiri.
HP pernah membeli syarikat telefon pintar, Palm pada 2010 tetapi pihak pengurusan memilih untuk menghentikan operasi tidak lama kemudian kerana menganggap syarikat itu tidak kompetitif. Syarikat-syarikat PC sebenarnya telah cuba mengeluarkan komputer tablet sendiri jauh lebih awal daripada Apple. Lebih 10 tahun lalu, pengasas Microsoft, Bill Gates berkongsi visinya untuk sebuah komputer digital di Las Vegas sementara telefon pintar pula bukannya ciptaan Jobs dan telah lama berada di pasaran. Bagaimanapun, alternatif yang ditawarkan terlalu mahal kepada kebanyakan pengguna, sukar untuk digunakan atau mempunyai penampilan 'buruk' untuk menjadi pujaan ramai. Kini, pengeluar PC terpaksa mengejar fenomena yang dimulakan Apple dan berharap mereka tidak terus ketinggalan.
Dunia pengkomputeran mudah alih ini dilihat hanya meninggalkan ruang kecil untuk HP dan pengeluar PC lain seperti Dell yang rata-rata mencatatkan penurunan jualan yang dikaitkan dengan kegagalan dalam mengikut peralihan teknologi dan inovasi baru. Namun, masih ada antara pengeluar yang tetap fokus kepada pasaran PC dengan jayanya seperti Lenovo di China yang lebih gemar menganggap zaman ini sebagai 'era tambahan PC'.
Tetapi untuk syarikat besar seperti HP, mereka tidak boleh berubah secara mendadak kerana telah bertahun-tahun berusaha mencapai kesempurnaan dalam perniagaan teras sebagai penjual komputer. Ditambah produk sampingan seperti mesin cetak dan khidmat pelanggan, HP mencapai kemuncak industri 10 tahun lalu selepas pembelian mahal pesaingnya, Compaq.
Perubahan dalam sektor tersebut bagaimanapun menyebabkan syarikat itu hilang keseimbangan apabila jualan perkakasan komputer menurun sementara cabang perisian komputer HP pula gagal mengejar pertumbuhan pesat dalam industri. Prospek syarikat itu dijangka akan lebih baik selepas pengumuman pengurangan kakitangan dengan harga saham HP dilaporkan telah meningkat tiga peratus hujung minggu lalu. – Agensi
0 comments:
Post a Comment