ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan adalah melemahkan kecintaan orang Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila.
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011. Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur adalah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah manifestasi daripada dua peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam?
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, institusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya adalah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
"Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat) mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat," - Al Jaatsiyah 45: 35.
Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh 'agama baru' bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya berperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan dianiaya berterusan oleh kaum musyrikin.
Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara Islam lain kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang amat 'dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam' pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?," - Al Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.
0 comments:
Post a Comment