Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 19, 2012

Hayati Peristiwa Isra' Mikraj

DI SEBALIK kemeriahan EURO 2012 yang semakin hampir ke penghujungnya, umat Islam di seru tidak terleka menghayati tarikh mulia 27 Rejab sempena peristiwa Isra' dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini kerana detik bersejarah perjalanan Nabi Muhamad SAW daripada Mekah ke Baitulmaqdis kemudian ke petala langit ke tujuh dan bertemu Allah SWT adalah peristiwa agung yang sangat menakjubkan.

Malah perjalanan tersebut turut diwarnai dengan pelbagai pengajaran dan peristiwa aneh yang boleh dijadikan iktibar untuk semua Muslimin.

Ini kerana perjalanan pada waktu malam bermula dari Mekah melalui ruang udara Madinah, kemudian transit di Palestin sebelum dibawa Buraq hingga naik melepasi langit ketujuh bertemu Allah SWT adalah sesuatu yang di luar jangkauan logik akal manusia.

Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman-Nya yang bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". ( Surah al-Isra':1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut menunjukkan bukti-bukti kebesaran-Nya melalui peristiwa-peristiwa aneh yang menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seumpama sebuah rumah yang dipenuhi dengan cacing dan boleh dilihat dari luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah balasan kepada pemakan riba yang diharamkan.

Baginda juga dipertontonkan dengan segolongan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Terdapat pula gelagat manusia yang dengan sendirinya menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Oleh itu sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam tidak terlalu leka dan terkesima dengan pelbagai hiburan dan berjenaka sepanjang masa sehingga lalai melaksanakan ibadah yang difardukan. Sebagai contohnya kewajipan solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika bertemu Allah SWT pada malam Isra' dan Mikraj. Ini berbeza dengan ibadat lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril.

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa solat ibadah paling penting dan sama sekali tidak patut diabaikan. Malah ia merupakan ibadat yang pertama sekali akan dipersoalkan semasa di dalam kubur. Keengganan sesetengah masyarakat Islam untuk melaksanakan solat pada masa kini dikhuatiri bakal menyumbang kepada gejala sosial dan moral yang semakin meruncing kerana tiada benteng penampan yang dapat mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara tersebut.

Selain itu penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba juga adalah wajib dihindari. Ini kerana ia diharamkan sama seperti meminum minuman keras dan memakan babi. Malah dengan situasi masa kini yang mana di negara kita telah terdapat pelbagai produk pembiayaan dan kewangan yang patuh syariah, hukum darurat bermuamalah dengan perbankan konvensional sepatutnya tidak lagi terpakai.

Begitu juga keterlibatan segelintir umat Islam yang kurang ilmu agama sehingga sanggup memperolok-olokkan produk-produk perbankan Islam yang bebas riba juga dilihat tidak selari dengan ketentuan syariat. Adalah lebih molek jika idea-idea yang bernas disalurkan kepada pihak berwajib sehingga urusan penambahbaikan dapat dilakukan demi manfaat bersama.

Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra' dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah dan bukan memburuk-burukkan sistem Islam sendiri.

Bagi menghayati peristiwa Isra' dan Mikraj ini juga jihad dalam skop yang lebih luas boleh diterapkan kepada jihad melawan hawa nafsu dan jihad daripada belenggu kemiskinan. Ini kerana hampir setiap hari ada sahaja berita berkaitan jenayah pembunuhan, penindasan terhadap kanak-kanak dan warga emas, jenayah rogol, merompak, bersekedudukan dan berzina dibicarakan di sana sini. Ia seolah-olah seperti lahar dalam gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletuskannya keluar dek kerana kroniknya masalah sosial dan moral yang berlaku.

Justeru umat Islam diseru mengambil iktibar daripada peritiwa Isra' dan Mikraj yang disambut setiap tahun bukan hanya dengan menghabiskan cuti berehat bersama keluarga mahupun ke majlis ceramah agama dan pulang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk ummah yang berkualiti dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Ini kerana peristiwa Isra' dan Mikraj jelas membuktikan betapa kehebatan dan keagungan Allah SWT sama sekali tidak mampu ditandingi. Justeru setiap hamba harus tunduk dan taat mengabdikan diri kepada-Nya. Malah Allah SWT sentiasa memantau setiap gerak-geri manusia dan kemudiannya mampu pula mengenakan azab dan siksa atas setiap inci kesalahan yang dilakukan semasa di dunia.

Sedarlah juga betapa kehidupan di dunia hanya sementara. Oleh itu usahlah dihabiskan dengan hanya berseronok dan bersuka ria tanpa memikirkan apa yang telah dipersiapkan untuk bertemu hari pembalasan.

Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti diraikan sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

0 comments:

share2