Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yakin kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen meskipun Bersih 3.0 dengan sokongan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan perhimpunan, kelmarin.
Sehubungan itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu bimbang untuk membubarkan Dewan Rakyat, jika mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam waktu terdekat.
Desas-desus sebelum ini mengatakan PRU13 kemungkinan diadakan Jun ini, tetapi pemerhati meramalkan kemungkinan ia akan lewat ekoran perhimpunan Bersih 3.0 semalam.
Ini kerana, menurut beliau, Bersih 3.0, yang diadakan di ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh negara, adalah perhimpunan ganas yang mengupah rakyat untuk menghuru-harakan Malaysia.
Malah katanya, Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu memerintah kerana berlainan ideologi yang dibawa setiap tiga parti politiknya.
“Mereka akan bercakaran sesama mereka, kerana pada hari ini ideologi yang dibawa oleh Pas juga sudah tergadai kepada DAP,” katanya dalam ucapannya pada perhimpunan Raja Berdaulat Kasih Dijunjung di Kelab Sultan Sulaiman.
Katanya, PR sudah menghabiskan jutaan ringgit untuk membuat perhimpunan tersebut yang mengundang nama buruk Malaysia di mata dunia.
“Negara kita tercemar di seluruh dunia. Tidak ada negara lain mengadakan sepanduk dan memakai baju kuning di Madinah dan Makkah seperti yang dilakukan penyokong Bersih 3.0.
“Paling menyedihkan tidak sampai setengah jam dalam laporan media antarabangsa CNN, Al-Jazeera menyiarkan liputan berita yang huru-hara di Malaysia. Betapa buruknya negara kita di mata dunia.
“Biar mereka memburukkan negara kita, biar mereka hina negara namun majoriti rakyat Malaysia tetap menyokong kerajaan dan menjunjung daulat tuanku,” katanya.
Ibrahim berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pilihan raya yang bersih dan mendakwa daftar pemilih adalah kotor dan salah, sedangkan sudah empat kali beliau bertanding di Permatang Pauh dan memenangi kawasan itu.
“Ada dia menuntut dan tidak bersetuju dengan SPR? Mana ada negara maju daftar pemilihnya bersih seratus peratus, tetapi SPR hari ini telah mengambil daya usaha akan memperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, pengisytiharan memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong satu rombongan akan dihantar menjelaskan maksud yang tersirat dan mengadap setiap Sultan.
Hampir 4,000 orang hadir ke perhimpunan raja berdaulat kasih dijunjung anjuran Perkasa, menuntut kesedaran masyarakat terhadap perbuatan derhaka kepada raja akan memporak-perandakan struktur teras perlembagaan negara.
Sementara itu, Ibrahim turut menyelar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail merupakan pembohong besar kerana memfitnahnya sebelum ini, melalui wawancara khas Sinar Harian yang disiarkan semalam, berhubung permintaannya untuk menyertai PKR dan meminta belas kasihan Anwar ketika mendapatkan rawatan di Jerman pada akhir 2004.
0 comments:
Post a Comment