Warga Felda Gugusan Bera akan menyerahkan memorandum sokongan terhadap usaha kerajaan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Warga Felda Gugusan Bera yang berhimpun di Padang Awam Sebertak, di sini baru-baru ini turut menyifatkan tindakan lapan peneroka Jengka memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian FGVH tidak lama dahulu sebagai pengkhianat perjuangan Melayu kerana sanggup menjadi alat pembangkang.
Wakil peneroka berkenaan, Mat Jidi Yaakob berkata, perhimpunan di padang awam Felda Sebertak ini dihadiri pemimpin peneroka pelbagai peringkat yang menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang mencetuskan idea penyenaraian itu.
Katanya, majoriti peneroka khususnya ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB) berang dengan tindakan lapan peneroka terbabit kerana mereka hanyalah alat kepada pihak yang berkepentingan politik.
‘‘Usaha pembangkang menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu hanyalah untuk menggagalkan usaha murni kerajaan dan seterusnya menjatuhkan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi polemik yang dicetuskan mereka.
‘‘Sokongan terhadap Perdana Menteri tidak berbelah-bahagi yang mana kami sedang mengumpul sasaran lebih 30,000 tandatangan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri semasa melawat Bera esok,” katanya.
Mat Jidi yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bera berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas perhimpunan aman menyokong penyenaraian FVGH di padang awam Felda Sebertak Bera, di sini baru-baru ini.
Pengerusi Perhubungan Waris Anak Pahang Sejati Bera yang juga peneroka Felda Sebertak, Rosli Mohamad berkata, beliau sangat kesal dengan tindak-tanduk lapan peneroka yang menentang itu kerana telah menyusahkan majoriti warga peneroka yang berdiri teguh di belakang Perdana Menteri.
Tegasnya, lebih 20,000 ahli KPFB Felda Bera tetap bersama kerajaan dan Felda untuk meneruskan agenda penyenaraian di Bursa Malaysia demi kepentingan generasi akan datang.
Ketua Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Sareffah Abdul Rahman pula menyifatkan mana-mana peneroka yang menentang dan membawa cadangan penyenaraian FGVH ke mahkamah sebagai ‘musuh dalam selimut’ dan penderhaka kepada Felda.
Ini kerana, ujarnya, mereka telah mendapat pelbagai keistimewaan termasuk saham percuma dan kemudahan lain berbanding penduduk kampung tradisional.
Ahli Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Bera, Ismayuddin Suib berkata, warga Felda perlu bersatu menolak sebarang tohmahan pembangkang, khususnya Pas dan NGO yang beria-ia mempengaruhi peneroka menentang penyenaraian FGVH dan KPFB.
‘‘Mereka yang membawa kes di mahkamah bagi menghalang penyenaraian itu adalah ahli tegar Pas yang disokong NGO mereka yang sememangnya tidak sebulu dengan Felda,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment