Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 16, 2012

Taman Rimba Kenong Tarikan Baru Pahang


Taman Rimba Kenong di sini yang dikenal pasti antara hutan hujan tropika tertua di dunia bakal dipopularkan sebagai destinasi ekopelancongan terbaru di negeri ini.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Amran Abdul Rahman berkata, alam semula jadi bersama 20 gua batu kapur yang terdapat di situ dikenal pasti berusia lebih 130 juta tahun yang pastinya mampu menarik kehadiran ramai pelancong terutama dari Eropah.

Menurutnya, antara gua batu kapur yang dikenal pasti mampu menggamit kehadiran pelancong adalah Gua Hijau, Gua Gajah, Gua Harimau, Gua Kesong dan Gua Buta.

Katanya, selain itu, pelbagai spesies tumbuhan terdapat di kawasan itu antaranya halia liar, kulat telinga kera, pokok jati dan pokok merbau.

"Kajian pakar geologi mendapati hutan Kenong direkodkan berusia 130 juta tahun, manakala gua-gua di situ berusia lebih 200 juta tahun sekali gus menjadikannya antara hutan tertua di dunia.

"Jadi sebagai menghargai khazanah hutan tersebut, ia akan dijadikan sebagai destinasi ekopelancongan baru supaya orang ramai termasuk pelancong asing berpeluang menikmati keindahannya," katanya kepada pemberita ketika program lawatan bersama media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai penambahbaikan, Taman Rimba Kenong yang dibangunkan Jabatan Perhutanan Negeri sejak 1988 kini mempunyai kemudahan seperti calet, laluan kanopi dan tapak perkhemahan untuk keselesaan pengunjung.

"Pada waktu malam pula, pengunjung boleh menyertai aktiviti berjalan malam dan berpeluang melihat kunang-kunang serta kulat bercahaya," katanya.

Amran berkata, kebanyakan pengunjung yang datang ke Taman Rimba Kenong adalah pelancong dari Eropah kerana mereka lebih gemar aktiviti lasak.

1 comments:

  • Anonymous says:
    March 16, 2012 at 8:57 PM

    haha! tarikan baru? tau dh berapa lama taman rimba kenong ujud? kenapa selama ini tidak diberikan perhatian pembangunannya? Ada canopy? tau tak canopy disana yg bernilai lebih 200 ribu telah runtuh dan punah begitu saja tanpa digunakan hanya kerana pembuat keputusan tidak ingin menerima pakai cadangan untuk tidak membinanya dahulu?

share2