Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 6, 2012

Kerajaan Pahang Bantu Rakyat Memiliki Rumah


Kerajaan negeri bersetuju meluluskan permohonan hak milik tapak rumah yang dimohon dalam tempoh lima tahun secara automatik.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bagaimanapun syarat utamanya ialah tanah tersebut tidak bertindih permohonan atau terletak dalam kawasan rizab seperti hutan simpan, tadahan air, rizab kereta api dan sungai.

Katanya, mereka yang layak hanya perlu membayar premium 50 sen sekaki padu berbanding dahulu sekitar RM40,000 untuk setiap 0.4 hektar.

"Ia berkuat kuasa mulai pada tahun ini yang mana keputusan itu telah diluluskan pada mesyuarat mingguan Exco pada Rabu lalu.

"Selain itu kerajaan negeri turut bersetuju menghapus bayaran premium bagi pemilikan tapak rumah yang melanjutkan pajakan daripada 60 tahun kepada 99 tahun mulai tahun ini," kata Adnan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada lebih 800 penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Pelangai kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut beliau, sebelum ini pemilik dikenakan bayaran premium yang agak tinggi namun kini ia dilupus dan diberikan secara percuma setelah tamat pajakan 60 tahun yang membabitkan semua pemilik tapak rumah sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Adnan memberitahu, kerajaan negeri meluluskan keputusan tersebut kerana prihatin bagi membantu rakyat negeri ini mendapatkan tanah dan tapak rumah.

"Kerajaan negeri menerima terlalu banyak permohonan tanah daripada rakyat dan terpaksa menelitinya sebelum diluluskan.

"Jika kawasan dimohon itu bukan kawasan rizab atau permohonan tidak bertindih, kerajaan tetap meluluskannya," katanya.

Beliau menasihati rakyat negeri itu yang mendapat tanah atau tapak rumah agar tidak menjual tanah tersebut kerana matlamat utama kerajaan meluluskan tanah atau tapak rumah itu bagi membantu mereka memiliki harta dan tanah untuk menjamin masa depan keluarga.

0 comments:

share2