ARENA politik negara dikatakan lebih menarik apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Isnin lalu.
Ia memandangkan pembebasan berkenaan akan memberi peluang kepada Anwar buat kali kedua mengetuai pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi sama ada Anwar dibebaskan atau dipenjarakan ia tiada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Selama ini, kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempeduli apa pun berlaku kepada Anwar sepanjang perbicaraan berlangsung.
Sebaliknya ketika puak-puak pembangkang melaungkan reformasi dan ada kala bersikap seperti mahu melakukan revolusi melalui demonstrasi, kerajaan BN pula terus melakukan transformasi dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Oleh itu, perhitungan dalam pilihan raya umum akan datang, bukan soal Anwar dipenjara atau dibebaskan, beliau jadi ketua pembangkang atau tidak, sebaliknya soal sejauh manakah apa yang dilakukan oleh kerajaan BN diterima oleh rakyat.
Atas sebab itulah pemimpin dan penyokong parti tersebut tidak perlu pening kepala dan tidur tidak lena hanya kerana Anwar dibebaskan, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meneruskan agenda politik seperti biasa.
Biarlah Anwar dan rakan-rakan mengelilingi dunia dan meredah setiap pelosok tanah air bagi meraikan kemenangannya.
Biarlah mereka terus dengan agenda politik fitnah, tohmahan, maki-hamun dan kebencian kerana itu sahaja kekuatan yang mereka ada. Apa yang paling utama kepada BN dan UMNO ialah terus mendekati rakyat dengan agenda bagi meningkat taraf hidup mereka.
Anggaplah keputusan yang dibuat oleh mahkamah itu adalah ketentuan Allah SWT yang sudah pasti ada hikmahnya.
Dan kita perlu ingat bahawa, kalau pun ditakdirkan Allah SWT, Anwar mengepalai pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum nanti tiada apa yang perlu dikhuatirkan.
Ia kerana ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian, pada tahun 2008 Anwar juga menjadi ketua pembangkang tetapi apakah pembangkang berjaya memerintah Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri seperti mana yang beliau idam-idamkan?
Tidak juga, pembangkang hanya menjadi kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (selama 11 bulan) serta menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
Tetapi cuba fikirkan kenapakah keadaan itu berlaku? Faktor kemenangan yang dianggap besar berkenaan terjadi kerana situasi politik, ekonomi dan pentadbiran negara ketika itu.
Namun sekarang boleh dikatakan hampir kesemua masalah berkenaan sudah diatasi melalui kegigihan Najib melakukan transformasi dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun keselamatan.
Malahan sokongan rakyat kepada BN terutamanya UMNO juga semakin meningkat termasuklah di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.
Hakikatnya, kalau kita mahu berfikir sejenak pengaruh Anwar semakin merosot, ini jelas dapat dilihat apabila mereka gagal mengumpulkan 100,000 orang untuk berkumpul di hadapan mahkamah, yang hadir hanya sekitar 5,000 orang sahaja.
Malahan ceramah-ceramah juga kehadiran tidak sampai 2,000 orang, semua ini terjadi kerana rakyat semakin memahami watak politik Anwar yang sebenar.
Memang kita tidak nafikan bahawa di peringkat bawah mungkin ada rakyat yang akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sudah pasti akan mengeksploitasikan isu perbicaraan Anwar, pembangkang akan menguar-uarkan bahawa konspirasi memenjarakan Anwar gagal.
Tetapi UMNO dan BN perlu memperjelaskan bahawa jika benar kes Anwar adalah satu konspirasi maka sudah lama Anwar disumbatkan dalam penjara. Tak kanlah UMNO hanya melakukan konspirasi sampai ke tahap perbicaraan sahaja tetapi apabila keputusan Anwar dibebaskan?
Jelaslah teori konspirasi ini hanyalah ciptaan pembangkang dan hakikatnya, merekalah sebenarnya sedang melakukan konspirasi bagi menjatuhkan kerajaan BN melalui fitnah bahawa parti itu terlibat dalam isu liwat Anwar.
Konspirasi ini bukan sahaja di dalam negara melalui pelbagai ceramah yang dilakukan tetapi juga di luar negara, apabila Anwar tidak habis-habis memburukkan kepimpinan negara di negara-negara yang dikunjungi.
Kita tidak harus lupa bahawa Anwar juga menjaja seluruh dunia bahawa kes liwatnya adalah satu perancangan politik dan beliau berjaya mempengaruhi sesetengah masyarakat antarabangsa bahawa beliau akan dipenjarakan.
Tetapi apa yang berlaku pada Isnin lalu sudah membuktikan apa yang dikatakan oleh Anwar hanyalah satu fitnah terbesar kepada kerajaan BN.
Sebab itulah untuk menutupi 'dosanya' kerana membohongi dan memperdayakan masyarakat antarabangsa, Anwar sebaik sahaja keputusan perbicaraan diumumkan memberitahu, keputusan membebaskan beliau itu ada kaitan dengan kebimbangan kerajaan terhadap imej buruk di mata dunia.
Apa yang melucukan, kenyataan beliau itu dinafikan oleh peguamnya sendiri, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP yang menegaskan, ia adalah keputusan badan kehakiman berdasarkan bukti dan kandungan perbicaraan sepenuhnya.
Justeru jelaslah, Anwar dalam apa situasi sekali pun tidak akan meninggalkan tabiat politik putar belitnya, jadi kenapakah perlu melayan politikus seumpama itu?
Perlu difahami sebahagian besar rakyat sudah muak dengan gelagat Anwar serta amalan politik pembangkang yang bukan sahaja mengamalkan politik kebencian tetapi juga double standard.
Bagi pembangkang, mereka sahaja pakatan paling sempurna dan suci di muka bumi Allah ini tetapi hakikatnya kerjasama politik merekalah paling pincang. Ia kerana di dalam pakatan itu, ada yang cuba menjadi big brother, ada yang menjadi pencatur dan ada yang hanya menjadi 'pak turut'.
Lebih daripada itu, rakyat juga tahu menilai bagaimana pembangkang tidak pernah mengakui kelemahan sendiri sebaliknya apa juga berlaku kepada pakatan mereka, segalanya dituding kepada BN dan UMNO.
Perjuangan pembangkang adalah demi mencapai cita-cita politik Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, sebab itulah Anwar berkata, kalau beliau dipenjarakan pun beliau tetap akan memegang jawatan berkenaan, sedangkan perjuangan BN dan UMNO sejak dulu, kini dan selamanya adalah demi kesejahteraan rakyat.
Sebab itulah pembangkang cuba melakukan pelbagai konspirasi bagi memburukkan kerajaan di mata rakyat dan antarabangsa. Keadaan itu terjadi kerana mereka melihat Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah perhitungan hidup mati parti pembangkang.
Apa pun biarlah pembangkang dengan perjalanan politik carca-marba mereka, apa yang penting BN dan UMNO meneruskan agenda mendekati rakyat serta memperkukuhkan perpaduan sesama mereka.
Dan paling penting fahamilah sehebat manapun manusia itu, mereka tidak akan mampu menghalang kebatilan ditumbangkan oleh kebenaran. Inilah janji Allah!
0 comments:
Post a Comment