ADA pepatah yang menjelaskan sebuah hakikat diri seseorang: "Ketika dia diam, kita menyangka dia orang pandai. Namun ketika dia mula berbicara maka jelaslah kejahilannya". Kata-kata hikmah ini sangat tepat malah sering terlihat dalam masyarakat kita.
Betapa banyak orang yang pada mulanya kita sangka mempunyai minda 'genius' ketika dia diam. Sebaliknya apabila mulutnya mula ternganga dan lidahnya terjelir saat berkata-kata, terus sahaja kita menjatuhkan hukuman terhadap dirinya: "Ternyata orang ini tidak memahami apa-apa".
Kesalahan ini terletak pada lidahnya. Kerana pulut, santan binasa kerana mulut, badan binasa. Orang mengetahui dia jahil apabila dia bersuara. Seandainya dia hanya mendengar dan diam sampailah tamat isu yang dibangkitkan, nescaya tiada sesiapa yang tahu akan hakikat dirinya yang jahil. Malah diamnya itu sebagai sebuah tanda bijaksana kerana dia mengetahui hakikat dirinya yang tidak berilmu.
Ironinya betapa banyak orang yang binasa kerana lidahnya di dunia ini? Betapa banyak manusia yang nantinya akan dihumban ke neraka kerana silap berkata-kata. Lantaran itu Islam tidak mengajar kita untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat kepada sesiapa hatta kepada musuh atau orang yang kita tidak suka. Malah kepada seorang kafir pun kita disuruh untuk menjaga lidah dan adab.
Kita selalu menyangka lidah kita tidak pernah berdusta, tidak pernah tersasul dan tidak pernah tersilap bicara. Kita tanpa sedar seperti menetapkan bahawa diri kita adalah maksum seperti nabi. Tambahan pula kalau orang ramai menobatkan kita dengan gelaran keramat iaitu 'ulama'. Semakin kuatlah iman kita untuk menafikan kebarangkalian kita tersilap kata, tersalah langkah.
Padahal Rasulullah SAW berkata: "Setiap anak Adam akan melakukan kesilapan, dan yang terbaik adalah yang paling cepat taubatnya." (Hadis Tarmizi).
Ketika kita menggunakan hadis "ulama itu adalah pewaris nabi", kita tergelincir dengan membuat takwilan batil. Kita beranggapan sebagai pewaris nabi kedudukan kita sama seperti nabi di zaman ini. Natijahnya apa yang kita benarkan itu berupa perintah dan apa yang kita tegah berupa larangan. Barang siapa yang menyelisihi kita diancam neraka dan barang siapa yang mentaati kita diberi syurga. Sekiranya begitu, moleklah kita tuliskan dihujung nama kita "Alaihissalam". Atau hadiahkanlah kita sebuah Kursi Alaihissalam.
Tahukah apabila keadaan itu terjadi, umat juga akan menuruti jejak langkah ulama mereka. Ketika ulama mereka mendengar sebuah berita yang tidak dipastikan kesahihannya, maka terus sahaja sang ulama itu menyampaikan kepada umat. Apabila cuping telinga umat terdengar khabar tersebut, mereka cepat-cepat menyebarkan kepada masyarakat. Akhirnya merebaklah sebuah berita yang tidak sahih di tengah-tengah manusia.
Saat ini, ulama dan umat yang menjadi penyebar khabar tersebut sudah tidak memerlukan sebarang bukti terhadap tuduhan yang mereka lemparkan. Hujah adalah diri mereka; apabila mereka berkata "shahih" maka benarlah khabar tersebut. Ketika mereka berkata "ini dusta" maka palsulah khabar tersebut. Walhal Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya setiap manusia diberikan haknya berdasarkan dakwaan atau tuduhan mereka, sudah tentu akan ada orang-orang yang akan menuntut harta dan darah milik suatu kaum yang lain. Oleh itu pembuktian diwajibkan bagi yang mendakwa dan bersumpah bagi pihak yang yang dituduh." (Hadis Riwayat Baihaqi)
Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat Islam kita. Betapa banyak berita yang tidak dapat kita pastikan kebenarannya namun kita tetap bercerita kepada jiran tetangga, kita siarkan dalam laman peribadi kita, dan kita teguh mempertahankannya ketika ada orang meminta bukti. Malah kita mencela pula orang yang menagih pembuktian dari kita.
Malangnya, kita berhadapan dengan dua keadaan yang mana kedua-dua keadaan itu akan membuatkan kita berdosa. Ibarat timun dan durian; menggilis luka, digilis pun luka. Jika benar khabar itu shahih maka kita tetap berdosa kerana Syubail bin 'Auf berkata: "Dikatakan barang siapa yang mendengar sebuah kekejian lalu menyebarkannya, maka orang itu seperti orang yang melakukan perbuatan keji tersebut" (Shahih. Adabul Mufrad).
Sebaliknya jika ternyata khabar tersebut tidak shahih maka kita juga akan berdosa kerana Rasulullah SAW bersabda; "Cukup seseorang itu dikatakan sebagai pendusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang didengarnya." (Hadis Tarmizi)
Dua contoh yang hangat disebarkan oleh umat walhal mereka tidak mempunyai bukti walau sekelumit pun. Pertamanya ada seorang tokoh agama yang berkata kepada anak muridnya bahawa Sekreatariat Ulama Muda UMNO (iLMU) menerima wang sebanyak RM15,000 sebulan setiap orang: "Ulama Muda; ulama gila. Masuk parti sekular, masuk berenang dalam air najis. Terima RM15,000 khabarnya seorang sebulan, tapi duduk dalam najis sekular. Sekular ini keluar dari Islam, sesat dunia akhirat".
Pertamanya ustaz ini menuduh iLMU menerima wang hampir RM 0.6 juta sebulan dan keduanya ustaz ini telah mengkafirkan iLMU. Sedangkan masalah takfir (mengkafirkan orang) merupakan satu perkara yang sangat besar dalam Islam. Ulama Ahlus Sunnah sangat berhati-hati dalam menjatuhkan hukum kafir, sehingga kelompok sesat seperti Khawarij dan Mu'tazilah hanya dihukum sesat walaupun mereka menyeleweng jauh daripada Islam.
Keduanya adalah kes Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan fatwa bolehnya wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Jamil Khir ketika disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lucunya, segelintir masyarakat kita mengatakan Jamil Khir telah memakan wang zakat, padahal perbuatan beliau dilakukan setelah fatwa dikeluarkan oleh Mufti. Apakah kita ini lebih alim daripada mufti atau sebenarnya kita mahu melawan mufti? Jika kita diminta bukti terhadap tuduhan itu, ternyata kita tidak mempunyai hujah walau setitik pun.
Mufti mengeluarkan hukum atas ijtihad beliau yang disandarkan kepada Syeikh Rasyid Redha dalam Tafsir Al Manar: "Pendapat yang benar dalam jihad fi sabilillah ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan".
Sementara Imam As Son'ani dalam Subulus Salam berkata tentang jihad fi sabilillah adalah: "Termasuk mereka yang berkerja untuk kepentingan orang muslimin, seperti bidang peradilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya".
Ingin dilontarkan satu pertanyaan: Jika Anwar menang dalam kes ini, ke manakah wang zakat yang digunakan MAIWP itu pergi?
0 comments:
Post a Comment