Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 25, 2012

BN Tidak Gentar


RANCANGAN pembangkang terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan siri jelajah di dalam dan luar negara bagi meraih sokongan selepas beliau dibebaskan daripada tuduhan meliwat di mahkamah baru-baru ini disambut tanpa rasa gentar Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap perancangan pembangkang itu bukannya sesuatu yang luar biasa dan menjadi hak mereka memilih taktik tersendiri meraih undi menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Apa yang menarik mengenai jawapan Perdana Menteri baru-baru ini itu adalah kenyataan ringkas bahawa 'BN akan berdepan dengan pembangkang dalam apa bentuk sekalipun'.

Ini menunjukkan beliau menegaskan secara tersirat rasa tidak gentar itu bukannya tidak peduli atau tidak mengambil tahu langsung pergerakan pembangkang tetapi 'berwaspada' terutamanya dalam mematahkan sebarang bentuk fitnah, penipuan mahupun tohmahan tidak berasas terhadap BN dan kerajaan.

Apa yang ingin disampaikan Perdana Menteri kepada semua jentera BN itu, terutama sekali kepimpinan dan ahli parti komponen perlu difahami sedalam-dalamnya agar tragedi PRU12 tidak berulang lagi.

Mungkin mengambil iktibar daripada kealpaan sebilangan kepimpinan dan jentera pilihan raya BN pada 2008, Najib nyata mahu semua anggota parti komponen berani menghadapi apa jua taktik pembangkang.

Tetapi, ini juga bukan bermakna jentera BN boleh mengambil mudah dan sekadar melihat apa yang yang pembangkang lakukan sebaliknya perlu ada tindakan sewajarnya dalam memastikan rakyat tidak lalai dan tertipu dengan sebarang dakyah songsang.

Gabungan goyah pembangkang kini bukan sekadar memainkan isu berkaitan moral Anwar dan isu-isu baru semata-mata kerana beberapa isu sejak 2008 juga masih cuba diputar untuk menarik sokongan dan simpati pengundi.

Malangnya, ada juga rakyat dan pengundi yang mudah terpengaruh dengan taktik pembangkang yang pandai 'mengayat', mengolah perspektif situasi mengikut pandangan sempit mereka dan menabur pelbagai janji manis yang kosong dalam manifesto PRU mereka.

Jika diambil mudah nilai 'air liur' pembangkang, dikhuatiri ramai rakyat terus terpengaruh, tertipu dan menerima bulat-bulat apa sahaja yang dijanji, direka atau dituduh terhadap kerajaan.

Bagi pemerhati politik, Mohamad Faisol Keling, keputusan mahkamah berhubung kes Anwar baru-baru ini bukannya penghalang momentum sokongan terhadap BN mahupun kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

"Anwar dibebaskan kerana tidak cukup bukti dan ini menunjukkan ketelusan dan kedaulatan perundangan di negara kita.

"Namun, Perdana Menteri juga mahu menegaskan BN tidak perlu lemah semangat atau fikir kerajaan akan jatuh kerana keputusan kes tersebut," katanya.

Tegasnya, apa yang perlu dilakukan jentera BN sekarang adalah tidak mengalah dan meningkatkan momentum sokongan sedia ada oleh rakyat terhadap kerajaan.

Jelasnya, momentum sokongan di bawah Najib adalah lebih baik berbanding dahulu dan jentera BN perlu mencari idea-idea baru dalam menarik lebih banyak sokongan rakyat.

"Jentera parti tidak boleh duduk diam sahaja bila berhadapan dengan taktik pembangkang. Jangan gentar dan gandakan usaha, ikut teladan Perdana Menteri sendiri yang agresif mendekati dan membantu rakyat.

"Banyak cara untuk menjelaskan sesuatu isu yang cuba dimainkan pembangkang, terutamanya menyampaikan fakta sebenar yang tidak boleh diubah atau diputar belit," ujarnya.

Mohamad Faisol menegaskan, jentera BN juga tidak boleh berasa selesa dalam zon selamat dengan sekadar bergantung kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Cuba lihat taktik pembangkang yang menggunakan 'ceramah runcit' atau secara kecil-kecilan untuk mendekati dan meraih sokongan pengundi sama ada di surau, masjid mahupun menggunakan pembesar suara atas van.

"Taktik 'runcit' ini amat berkesan sebenarnya. Namun, jentera BN lebih fokus kepada ceramah impak besar yang sukar diadakan dengan kerap atas faktor kos di samping kurang berkesan," jelasnya.

Beliau berharap taktik ceramah runcit juga dapat digerakkan semua jentera BN bagi mengimbangi taktik pembangkang dan dipercayai akan membawa impak besar terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan.

"Pembangkang guna cara ini untuk ketengahkan kelemahan atau kesilapan BN. Tiba masa jentera BN juga dedahkan kelemahan mereka terutama gabungan pembangkang yang rapuh dan perbezaan pendapat antara mereka.

"Gunakan ceramah runcit seperti mana dilakukan Tun Abdul Razak Hussein ketika memimpin negara dahulu dan dedahkan fakta dan kelemahan pembangkang melalui teknologi sedia ada," ujarnya.

Pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan turut berkongsi pendapat serupa dalam keperluan menyampaikan sesi ceramah untuk memberi penerangan kepada rakyat.

"BN kurang memberi tumpuan kepada kaedah ceramah tetapi cara 'lama' ini perlu digalakkan kerana ia amat berkesan.

"Jentera parti kini banyak bergantung kepada media massa untuk menerangkan atau membuat penjelasan kepada rakyat tetapi ada juga perkara tidak boleh disampaikan media," katanya.

Menurut beliau, medium sebaran awam yang boleh memberi pendedahan meluas dalam segala isu penting dalam menghadapi apa yang dirancangkan pembangkang.

Jelasnya, Anwar sedang mencipta, menyediakan dan mengumpul pelbagai isu untuk digunakan semasa PRU13 kelak, termasuk isu wanita, belia dan mahasiswa serta isu-isu lama.

"Bukan Najib sahaja menjadi sasaran, pemimpin veteran BN juga akan ditarik kembali untuk 'cari gaduh', seperti mana dilakukan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Mereka akan cuba membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan BN dan menunjukkan pemimpin baru mahupun lama dalam kerajaan 'tidak boleh pakai'," ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap jentera parti bersedia dan mana-mana isu yang cuba dimainkan dijawab secepat mungkin dengan fakta kukuh melalui semua medium termasuk blog internet mahupun ceramah di kampung-kampung.

Ahmad Zaki turut melahirkan kebimbangan terhadap kesungguhan jentera kempen BN yang dilihat tidak begitu menghayati kata-kata Perdana Menteri serta tidak berada pada tahap maksimum dalam persediaan menjelang PRU13.

"Sepatutnya, bila Perdana Menteri cakap, semua sudah bersedia dan terus bergerak tetapi kelihatan tahap pertengahan pun belum dicapai buat masa ini.

"Gendang PRU sudah tahu tapi gerakannya masih kurang, tempat yang sepatutnya sudah turun juga masih belum sampai," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak bimbang dengan taktik pembangkang yang akan cuba menarik sokongan dan campur tangan pihak luar.

"BN perlu fokus kepada rakyat di dalam negara selaku pengundi di samping sebarang sokongan luar terhadap pembangkang tidak akan membawa banyak kesan dalaman ketika PRU13.

"Lagipun, fikiran rakyat menjelang pilihan raya akan bertumpu kepada perkara dalam negara dan yang berkaitan kehidupan harian mereka," katanya.

Namun, beliau mencadangkan alumni dan wakil kerajaan di luar negara mengambil perhatian jika terdapat usaha pembangkang menggunakan helah menarik sokongan rakyat Malaysia di sana.

"Yang paling penting, rakyat memahami keburukan dan mudarat yang dibawa jika dibiarkan mana-mana individu atau kumpulan menarik campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman negara dan rakyat kita," tegasnya.

1 comments:

  • Centurion says:
    January 25, 2012 at 10:05 AM

    BN memang tak perlu gentar. cuma jangan terlalu leka saja. Ini kebanyakkan pemimpin BN masih lagi leka.

    UMNO masih lagi berebut jawatan Ketua Bahagian. MCA dan MIC juga masih tak buat kerja menarik pengundi.

    Sedangkan pembangkang 24jam main isu politik. Kalau lambat bertindak nanti memang ketinggalan lah.

share2