KONTROVERSI menyamakan seorang ulama politik sebagai nabi dan sikap ulama itu yang tidak mahu bertanggungjawab atas kesan gesaan politiknya ibarat putaran ganas politik sempit dan kejumudan pemikiran.
Seluruh umat Islam di Malaysia terpinga- pinga, apakah gejala yang mengiktiraf seseorang yang dipuja itu layak diberikan sama taraf dengan nabi walhal sudah jelas tiada lagi nabi selepas wafatnya baginda Rasullullah SAW pada tahun 632 M.
Bila mereka yang berkenaan sendiri setelah mengetahui berita sesat tersebut dan tidak mahu bertanggungjawab atau tidak mahu menafikan hakikat itu, bererti dia juga bersubahat dengan penyebar berita tersebut.
Kedua-duanya umpama 2 x 5 dalam menyebarkan berita tidak benar. Sekiranya seseorang itu benar-benar tidak mahu bertanggungjawab dengan kenyataan songsang itu pasti dia mampu menolak dan menafikan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam itu.
Namun sekiranya mereka sendiri tidak dapat menafikan maka, mereka juga bersubahat dan terlibat dalam berita tersebut. Ini kerana hasil benih kefahaman yang disemai dalam ajaran yang selama ini adalah hasil tanaman kefahaman taksub yang disemai dalam ajaran politik sesetengah kumpulan untuk memperjuangkan fahamannya sendiri.
Apabila ada pihak yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau berstatus nabi atau ada orang lain memberikan taraf seseorang yang dilihatnya beragama, warak dan menjadi pemimpin sebagai nabi, umat Islam terus bangkit mempersoalkannya kerana mereka tidak boleh menerimanya.
Kecaman terdengar di mana-mana tetapi malangnya tokoh ulama politik itu tidak menyalahkan sebarang isi kandungan bahan ceramahnya telah lama membeku dalam pemikiran penyokong-penyokong taksubnya.
Masyarakat umum menyedari bahawa komuniti politik agama yang dibentuknya tidak ubah seperti sebuah perjuangan messaniah, perjuangan menggunakan agama sebagai kemuncak memperoleh dan mengekalkan kuasa.
Dalam Islam, tradisi kepatuhan dan keyakinan seseorang adalah sesuatu yang amat besar pengaruhnya, kerana kedua budaya itu melambangkan tahap keinsanan tinggi, iaitu memahami adanya pelindung yang lebih besar dan kuat iaitu Allah SWT.
Dalam memahami konteks hubungan tersebut itulah lahirnya pemimpin agama sekali gus politik yang membawa falsafah bahawa setiap apa yang diutarakan itu sebagai ajaran Islam, sedangkan sebenarnya, ia pandangan peribadinya sendiri.
Dalam situasi politik agama yang berlaku beberapa dekad lalu jelas membuktikan kerana mahukan sokongan besar, pemimpin politik agama itu sanggup "menipu, berbohong" dan memanipulasikan keyakinan khalayaknya dengan pendekatan politik menghalalkan apa sahaja, asalkan matlamatnya tercapai.
Al-Quran memberikan panduan jelas, bahawa sesuatu bentuk ketaatan dan keyakinan yang tulus ikhlas hanyalah kepada Allah, nabi-nabi dan pihak penguasa. Kerana tokoh politik agama itu merupakan pemimpin yang menguasai sebahagian wilayah tertentu, kegagalannya banyak dipersoalkan oleh khalayak pengundinya, maka dengan cara mengangkat martabat menyamai "nabi" mampu mengetepikan sedikit pengaruh buruknya.
Asas ketaatan yang disungguhkan dalam pendekatan Islam ialah melaksanakan segala bentuk kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kemungkaran kerana semua orang adalah ibarat nadi dan sendi dalam kehidupan berorganisasi.
Tanpa ketaatan sesebuah organisasi akan mengalami keruntuhan, maka kerana sudah membayangkan bakal berlakunya kehancuran dalam organisasi yang dipimpinnya, khalayak politiknya semakin beralih arah kerana organisasi tandingannya semakin menyerlah, pragmatik dan menjiwai kepentingan awam, maka dengan menghidupkan jiwa taksub akan boleh menyelamatkan kedudukan politiknya.
Ketaatan yang hendak disuburkan dalam Islam adalah sentiasa mencari keredaan-Nya dalam segala bentuk, masa dan keadaan, kerana hidup mati kita adalah bergantung kepada ihsan-Nya.
Penggunaan istilah taat telah dimanupulasikan menyamai konsep taksub, sedangkan kedua-duanya mempunyai persimpangan yang terlalu jauh walaupun pada mulanya bertolak pada asas yang sama.
Taksub membawa makna sebagai ketaatan melulu manakala taat ialah kepatuhan terhadap hakikat dan iradat, sesuai dengan peraturan, prosedur dan ketentuan-ketentuan yang digariskan oleh sesuatu sudut kepercayaan.
Ketaatan kepada pemimpin, meskipun diberikan kedudukan yang tinggi ia tetap tertakluk dengan nilai-nilai pragmatik yang ada padadiri pemimpin itu sendiri.
Meskipun seseorang pemimpin itu dilihat warak dari segi pengetahuan agama, tetapi amalan setiap hari tidak menepati asas agama, khalayak berhak untuk tidak mentaatinya kerana boleh mendatangkan mudarat dan kemusnahan.
Dalam pengertian taksub, khalayak tidak boleh mempersoalkan apa pun, termasuk cara pemimpin mereka bertindak dan memberikan pendapat, kerana perbezaan itu akan dinilai sebagai "penderhaka" sedangkan pemimpin itu sendiri sudah menunjukkan tanda penderhakaan agama yang besar dan kelakuannya sentiasa berselindung di sebalik ungkapan agama untuk membungkuskan tabiat penderhakaannya.
Khalayak taksub memangnya disorot secara jelas dalam al-Quran kerana mereka adalah golongan yang amat bahaya kepada Islam. Ketaatan membuta-tuli itulah akhirnya berupaya melanggar nilai dan etika yang ditetapkan, termasuk apabila mempercayai bahawa tokoh politik agama itu sebagai "orang keramat".
Setiap orang berlumba-lumba untuk mendapat keberkatannya, termasuk makan dalam bekas makanan tanpa dibasuh terlebih dahulu, mengambil barang-barang kepunyaannya dan menaja apa yang sahaja yang dimahukannya. Kerana mempunyai sikap taksub, fikiran dan hati seseorang akan tertutup. Jiwanya dipenuhi gelombang kesumat sehingga tidak lagi nampak kebaikan dan kesegaran pemikiran orang lain. Kerana itulah setiap kali membuat pandangan, seringkali mencela, mengecam, dan menghina seolah-olah dirinya sahajalah yang maha sempurna dan tinggi beragama.
Itulah bahaya yang perlu diawasi, ditolak dan ditentang oleh setiap umat Islam, kerana tiada lagi nabi selepas wafatnya nabi terakhir sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT, dan pengakuan Rasullullah SAW sendiri, bahawa "tiada lagi nabi selepasku."
Nabi-nabi yang muncul selepas itu ialah nabi-nabi palsu. Ajaran yang dikumandangkan oleh nabi-nabi palsu itu tidak akan membawa manusia ke kehidupan yang lebih baik, sejahtera dan harmoni. Ajaran nabi-nabi palsu sesat dan banyak berdasarkan kepada keinginan untuk berkuasa, dan mendominasi semua manusia, kerana dialah seorang yang terhebat, terbaik dan bermoral. Sedangkan dakwaan itu sendiri sudah mengandungi ketidakjujuran, pembohongan dan kejumudan.
0 comments:
Post a Comment