Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 29, 2011

Tokoh Maal Hijrah Pahang


Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini, semalam.

Anugerah tersebut diberikan sebagai mengenang jasa beliau dalam bidang dakwah agama Islam bagi mensejahterakan umat di seluruh negeri ini sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Besar dan selepas bersara.

Abdul Rashid yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang selama 10 tahun berkata, beliau terharu kerana usahanya selama ini dihargai oleh kerajaan.

"Saya bersyukur kerana apa dilakukan selama ini diberkati oleh Allah SWT dan saya akan meneruskan perjuangan dakwah ini melalui Perkim.

"Terima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama ini dalam usaha memberi dakwah kepada seluruh ahli masyarakat," kata beliau yang menjadi Menteri Besar Pahang pada tahun 1980-an.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Pada majlis itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenaan mengurniakan wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penghargaan kepada beliau.

Sementara itu, Imam Kampung Taman Sedia Cameron Highlands, Zainal Abidin Syafiee dianugerahkan Tokoh Pendakwah manakala Panglima Markas Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Datuk Mohd. Roslan Mohd. Ramli menerima anugerah Inovasi Jabatan.

Masing-masing menerima wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

0 comments:

share2